Jika KDN di bawah Kerajaan PH, UMNO pula pembangkang

SEPANG 8 Mac –  Ketika Presiden UMNO Dr Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan tidak tahu sedang tular  ‘surat RoS’ berhubung isu usul dua jawatan tertinggi UMNO, pelbagai pihak terus mempersoalkan situasi sebenar berhubung perkara itu.

Surat itu sama ada tulen atau palsu masih belum terjawab malahan timbul persoalan kenapa UMNO tidak mendedahkan surat sebenar yang diterima bagi ‘menoktahkan’ pertikaian yang semakin menarik perhatian ramai.

Ramai yang menanti surat sebenar RoS kepada Setiausaha Agung UMNO lebih-lebih lagi selepas kemunculan penjelasan Menteri Dalam Negeri,  Saifuddin Nasution Ismail yang menyatakan ‘pengecualian’ kepada UMNO.

Semalam bekas Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin turut menyentuh kandungan surat berkenaan.

“Saya tidak pasti surat daripada Ketua Pengarah RoS, Mohd Nawardi Saadi kepada Setiausaha Agung UMNO itu sah atau tidak, namun sebagai mantan menteri ia nampak sah dan ‘original’,” kata Khairy.

Berdasarkan surat itu, kata Khairy, Mohd Nawardi dengan jelas memaklumkan bahawa usul tambahan UMNO yang diputuskan pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU 2022) adalah tidak teratur, bertentangan dan bercanggah dengan peruntukan Fasal 9.3 Perlembagaan UMNO.

“Ia membawa maksud keputusan tambahan di PAU supaya tidak mempertandingkan jawatan presiden dan timbalan presiden pada penggal akan datang adalah tidak sah,” kata Khairy yang dipecat daripada parti itu.

Justeru jawatan utama seharusnya dipilih melalui pemilihan parti dan tidak boleh dikecualikan daripada pertandingan.

Dalam reaksinya, Ahli Parlimen Sembrong,  Hishammuddin Hussein, mempersoalkan apa yang sedang berlaku kepada UMNO selepas didakwa mengheret Saifuddin Nasution ke dalam polemik terbabit.

“Apa dah jadi dengan UMNO? Sekarang diheret pula Menteri KDN (Kementerian Dalam Negeri).

“Inilah sebab kita dipecat dan digantung, ‘just in case’ menteri tak bagi pengecualian,” kata Hishammuddin yang digantung keahlian UMNO selama enam tahun di ruangan komen ciapan Khairy.

Adakah ia membawa maksud, sekiranya pertandingan perlu diadakan, maka calon-calon berpotensi sudah ‘dilenyapkan’ lebih awal?

Sama ada surat RoS itu sah atau tidak, apa yang turut dipersoalkan tentang kuasa Menteri Dalam Negeri menggunakan kuasanya dalam pengecualian undang-undang terhadap UMNO.

Seperti disebut Khairy, sekiranya UMNO tidak melanggar akta berkenaan,  Saifuddin tidak perlu menggunakan kuasanya untuk menyelamatkan parti politik berkenaan.

Ada juga yang mempersoalkan apakah kedudukan UMNO sekiranya Menteri Dalam Negeri itu berada dalam kerajaan PH 22 bulan sebelum ini dan UMNO pula sebagai pembangkang, maksudnya bukan rakan dalam kerajaan yang memerintah.

Adakah UMNO akan terbatal pendaftarannya?

Pastinya, banyak pihak masih menunggu jawapan selanjutnya sama ada daripada RoS, KDN, dan UMNO sendiri supaya tidak timbul pelbagai persepsi berhubung isu ini kerana perkara yang sama juga mungkin boleh berlaku kepada pertubuhan lain.

Dan yang lebih penting, kita tidak mahu kerajaan Madani bertindak berat sebelah dalam membuat keputusan, sama seperti kononnya berlaku ‘pendakwaan terpilih’.

Related posts

Leave a Comment