KUALA LUMPUR 8 Mac – Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Muhyiddin Yassin mengesahkan beliau dipanggil memberi keterangan kepada Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) esok.
Bagaimanapun Muhyiddin dalam satu hantaran menerusi Facebook, menafikan laporan media sebelum ini yang mendakwa beliau ditahan di padang golf hari ini.
“Saya ingin menjelaskan berita saya ditahan di padang golf hari ini yang disebarkan oleh sebuah portal berita adalah palsu.
Hari ini saya hadir ke beberapa mesyuarat berkaitan Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Bersatu yang akan bermula Jumaat ini.
Bagaimanapun esok Khamis saya diminta ke Ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada pukul 11 pagi,” katanya.
Sejak petang tadi, spekulasi bertiup kencang bahawa SPRM akan menahan seorang pemimpin tertinggi sebuah parti politik dan mengheretnya ke mahkamah atas pertuduhan rasuah.
Malahan ada media sosial yang mendakwa Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu ditahan ketika di padang golf.
Desas-desus Muhyiddin akan didakwa tersebar sejak beberapa minggu lalu selepas bekas Ketua Penerangan Bersatu, Wan Saiful Wan Jan dihadapkan ke mahkamah pada 21 Februari lalu.
Sebelum ini Bendahari Agung Bersatu, Salleh Bajuri turut ditahan SPRM pada 2 Februari lalu selepas diminta hadir ke Ibu Pejabat SPRM untuk memberikan penjelasan berkenaan pembayaran yang dibuat oleh parti kepada pembekal dan vendor parti.
Akhir bulan lalu, SPRM membekukan beberapa akaun milik parti Bersatu dipercayai ada kaitan dengan siasatan agensi itu terhadap dana kerajaan RM92.5 billion yang didakwa diseleweng oleh kerajaan PN ketika melaksanakan pelbagai pakej rangsangan susulan pandemik Covid-19.
Pada 18 Februari lalu, Muhyiddin mengesahkan dipanggil memberi keterangan mengenai Program Jana Ekonomi Pemerkasaan Kontraktor Bumiputera Berwibawa (Jana Wibawa) sebagai saksi dan bukannya suspek.
Bagaimanapun, sehari kemudian SPRM mengesahkan bekas Perdana Menteri itu adalah antara suspek yang disiasat berhubung kes berkenaan dan siasatan ke atasnya masih diteruskan.
Berikutnya pada 20 Februari lalu, SPRM memaklumkan seorang pemimpin kanan sebuah parti politik berstatus Ahli Parlimen dan seorang Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) sebuah syarikat, ditahan berhubung kes Jana Wibawa.
Pada 21 Februari lalu, bekas Ketua Penerangan Bersatu, Wan Saiful Wan Jan yang juga Ahli Parlimen Tasek Gelugor didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas pertuduhan meminta dan menerima rasuah berjumlah RM6.9 juta membabitkan projek Jana Wibawa bernilai RM232 juta pada tahun lalu.
Bagaimanapun, beliau mengaku tidak bersalah.
Pada hari sama, Timbalan Ketua Bahagian Bersatu Segambut, Adam Radlan Adam Muhammad, dihadapkan di mahkamah sama atas dua pertuduhan termasuk menerima rasuah RM500,000 membabitkan projek Jana Wibawa.
Dia sekali lagi didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam pada 22 Februari atas kesalahan menerima rasuah berjumlah RM4.1 juta berkaitan projek sama.
Pada 28 Februari lalu, Adam Radlan didakwa kali ketiga berhubung projek Jana Wibawa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, atas pertuduhan meminta rasuah RM2 juta.
Terdahulu, pada 22 Februari lalu, seorang pengarah syarikat perabot di Pagoh dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru, atas sembilan pertuduhan meminta dan menerima rasuah berhubung Program Wibawa bernilai RM12.875 juta, sejak dua tahun lalu.
