UMNO: Pengecualian bukan keputusan menteri

KUALA LUMPUR 8 Mac – Keputusan Kementerian Dalam Negeri (KDN) memberi pengecualian kepada UMNO mengikut Seksyen 70 Akta Pertubuhan 1966 mengenai isu pemilihan parti itu, bukan keputusan peribadi menteri.

Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail ketika menjelaskan demikian berkata, keputusan itu sebaliknya dibuat selepas mendapat nasihat dan pandangan pegawai undang-undang kementerian.

Katanya, tindakan menggunakan peruntukan itu telah mengambil kira semua proses yang dijalankan oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS), UMNO serta pandangan pegawai di KDN.

Bagaimanapun sekiranya ada pihak yang tidak berpuas hati dengan keputusan itu,  ahli UMNO yang membuat aduan kepada RoS boleh mencabar pengecualian berkenaan di mahkamah.

“Seksyen 70 Akta Pertubuhan 1966 ini memberi kuasa secara khusus kepada menteri untuk membuat beberapa pengecualian. Kita ada pegawai undang-undang dan pegawai berkenaan. Ia bukan soal menteri secara peribadi membuat keputusan.

“Bila kita gunakan Seksyen 70, pengecualian itu terarah kepada pematuhan Seksyen 13 dalam Akta Pertubuhan 1966.

“Pilihan seterusnya, jika pengadu tidak berpuas hati dan mengatakan menteri melampaui batas kuasa, pilihan yang ada adalah dia mesti mengemukakan asas pernyataan dan afidavit mengikut saluran undang-undang.

“Kami (KDN) akan diminta menjawabnya, dan kemudian mahkamah adalah saluran yang akan menentukannya,” katanya ketika menggulung perbahasan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat, hari ini.

Semalam,  Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) mendedahkan wujud surat yang dialamatkan kepada Setiausaha Agung UMNO menyatakan bahawa usul tambahan dalam Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022 yang menghalang pertandingan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden sebagai tidak sah.

Menurut surat bertarikh 2 Mac lalu, Ketua Whip Parlimen Perikatan Nasional (PN) itu mendakwa RoS berpandangan usul tambahan itu tidak teratur serta bertentangan dan bercanggah dengan peruntukan Fasal 9.3 Perlembagaan UMNO.

Ia susulan, kenyataan Saifuddin Nasution semalam yang memaklumkan, KDN memberi pengecualian kepada UMNO daripada pematuhan Seksyen 13(1)(c)(iv) Akta Pertubuhan 1966, berhubung keputusan usul tambahan tidak mempertandingkan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden pada pemilihan parti tahun ini.

Pengecualian itu diberi mengikut Seksyen 70 Akta Pertubuhan 1966 yang memperuntukkan menteri boleh menggunakan budi bicaranya untuk mengecualikan mana-mana pertubuhan berdaftar daripada semua atau mana-mana peruntukan dalam Akta Pertubuhan 1966.

Berikutan penjelasan itu, Takiyuddin bangun mencelah dan menuntut Setiausaha Agung PKR itu menjelaskan sama ada surat RoS berkenaan adalah tulen atau tidak, serta sama ada pengecualian kepada UMNO itu turut mengikat parti dan pertubuhan lain secara perundangan.

Bagaimanapun, Saifuddin Nasution tidak menjawab secara langsung pertanyaan Takiyuddin, namun menegaskan beliau sudah memikirkan dan mempertimbang secara mendalam sebelum memutuskan untuk menggunakan kuasanya di bawah Seksyen 70.

Katanya, antara yang dipertimbangkan termasuklah peruntukan dalam Perlembagaan UMNO, khususnya Fasal 9.3, dengan Saifuddin Nasution menegaskan beliau masih menghafalnya berikutan pernah menjadi Setiausaha Pemuda UMNO suatu ketika dahulu.

“Ketika mengguna pakai (Seksyen 70), sudah tentu sebagai menteri, kita ada bahagian berkenaan yang akan berikan input dan pandangan. Pada akhirnya, kita membuat keputusan dan itulah keputusannya.

“Saya sendiri meneliti fasal-fasal (dalam Perlembagaan UMNO) sebelum membuat keputusan sehingga saya betul-betul puas hati, saya buat dan dengan kefahaman yang jelas bahawa keputusan ini ada implikasinya yang boleh mengundang tindakan atau proses seterusnya di mahkamah,” katanya.

Related posts

Leave a Comment