Pengambilan dos penggalak kurang memuaskan

KUALA LUMPUR 8 Mac – Sambutan orang ramai terhadap pengambilan dos penggalak vaksin Covid-19 masih kurang memuaskan, kata Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa di Dewan Rakyat hari ini.

Bagaimanapun, katanya, terdapat peningkatan bagi dos penggalak pertama  daripada 49.9 peratus kepada lebih 50 peratus sekarang dan dos penggalak kedua daripada 1.9 peratus kepada 2.2 peratus dalam beberapa minggu lepas.

Dr Zaliha ketika menjawab soalan Rosol Wahid (PN-Hulu Terengganu) berkata peningkatan itu berikutan kempen yang dilaksanakan Kementerian Kesihatan (KKM).

KKM katanya mengambil langkah antaranya membenarkan tempahan janji temu melalui aplikasi MySejahtera tanpa terikat dengan waktu dan tempat serta menawarkan perkhidmatan vaksinasi dos penggalak secara walk-in atau jumpa terus kepada golongan berisiko tinggi.

Beliau juga memaklumkan trend jumlah kes jangkitan Covid-19 dalam tempoh sebulan pertama 2023 adalah dalam keadaan stabil, dengan pelaporan harian kes Covid-19 dalam negara sejak sebulan lepas kekal dalam lingkungan 500 kes dan menunjukkan trend penurunan kepada 226 kes semalam.

Begitu juga, purata bilangan kes harian yang baharu dikesan dalam tempoh tujuh hari adalah pada julat 187 hingga 511 kes, sepanjang Januari 2023.

“Seterusnya, nilai Rt (kebolehjangkitan) kekal di bawah 1.0 sejak Minggu Epidemiologi (ME) 46/2022 (13 hingga 19 November 2022) dan pada ME 4/2023 (22 hingga 28 Jan 2023) nilai Rt adalah 0.8,” katanya.

Related posts

Leave a Comment