Usul kosong kerusi 4 ADUN bermotif politik

KUALA LUMPUR 6 Mac – Penggunaan Artikel 14A Perlembagaan Pulau Pinang untuk meluluskan usul mengosongkan kerusi empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dilihat sebagai satu penyalahgunaan kuasa serta jelas bermotif politik.

Setiausaha Agung Bersatu, Hamzah Zainudin, berkata Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang juga tidak menghormati lunas demokrasi serta mencabul undang-undang dalam tindakan itu terutama membabitkan dua ADUN Bersatu.

Katanya, dua ADUN dari Bersatu iaitu Khaliq Mehtab Mohd Ishaq (Bertam) dan Zolkifly Md Lazim (Teluk Bahang) tidak pernah melakukan apa-apa perkara yang boleh menyebabkan kerusi mereka perlu dikosongkan di bawah Artikel 14A.

“Kedua-dua YB (Yang Berhormat) ADUN Bersatu ini tidak pernah pada bila-bila masa meletak jawatan atau dipecat daripada parti Bersatu atau telah menyertai parti politik lain. Mereka kekal sebagai ahli Bersatu sehingga kini.

Tindakan DUN Pulau Pinang bukan sahaja jelas satu penyalahgunaan kuasa, malah pada hakikatnya tidak menghormati lunas-lunas demokrasi serta dilihat sebagai satu pencabulan undang-undang,” katanya.

DUN Pulau Pinang hari ini meluluskan usul pengisytiharan kekosongan empat kerusi yang diwakili ADUN Bersatu di bawah Fasal 14A(1) Perlembagaan Negeri Pulau Pinang.

Speaker, Law Choo Kiang mengesahkan keputusan itu dicapai setelah selesai sesi perbahasan daripada semua ADUN yang mengambil bahagian dengan sokongan majoriti ADUN yang sebulat suara bersetuju meluluskan usul terbabit.

Choo Kiang meluluskan usul itu menerusi undian suara selepas semua ADUN yang hadir menyatakan ‘ya’ kedengaran lebih ramai dan kuat berbanding menyatakan ‘tidak’.

Selain Khaliq dan Zolkifly, dia lagi ADUN terbabit adalah Dr Afif Bahardin (Seberang Jaya) dan Zulkifli Ibrahim (Sungai Acheh).

Dalam pada itu, Hamzah berkata, keputusan dibuat DUN Pulau Pinang itu jelas menafikan hak demokrasi rakyat dan pengundi, selain ia juga suatu rampasan kuasa pengundi Pinang dengan berselindung di sebalik undang-undang.

“Walaupun Bersatu menghormati keputusan Mahkamah Tinggi Pulau Pinang yang menolak permohonan keempat-empat ADUN ini, kami dinasihatkan dan mempercayai bahawa Mahkamah telah terkhilaf dalam menafsirkan pemakaian Artikel 14A ke atas mereka.

“Bersatu juga telah memfailkan rayuan ke Mahkamah Rayuan terhadap keputusan terbabit,” katanya.

Related posts

Leave a Comment