Jaminan keutamaan skim gaji

PUTRAJAYA 6 Mac – Perdana Menteri, Anwar Ibrahim memberi jaminan bahawa skim gaji penjawat awam akan menjadi keutamaan kerajaan apabila pendapatan negara bertambah tetapi tidak mungkin dilaksana dalam masa terdekat.

Beliau berkata, kadar gaji dan upah penjawat awam akan dibincang semula setelah ‘kantung’ kewangan negara bertambah baik selain defisit kewangan negara dapat dikurangkan.

“(Penjawat awam) tanya mengenai skim gaji, itu bila pendapatan negara bertambah, skim gaji jadi keutamaan penjawat awam, insya-Allah. Untuk bulan ini ngak mungkin (tidak mungkin) pak,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Perhimpunan Bulanan bersama warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) di sini hari ini.

Sebelum ini, Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) menggesa kerajaan memberi jaminan padu kepada penjawat awam untuk mencari jalan menyediakan skim gaji dan upah yang lebih kompetitif.

Presidennya,  Adnan Mat, berkata sebahagian daripada penjawat awam terutama dalam kumpulan sokongan, membabitkan keluarga berpendapatan rendah dan perlu dibantu.

Susulan kenyataan CUEPACS itu, Perdana Menteri berkata, kadar gaji dan upah penjawat awam akan dibincang semula setelah ‘kantung’ kewangan negara bertambah baik selain defisit kewangan negara dapat dikurangkan.

Perdana Menteri mengakui beliau secara peribadi, tidak berpuas hati apabila melihat gaji dan upah semasa penjawat awam ketika ini, berbanding tugas serta komitmen yang diberikan.

Anwar turut memaklumkan akan memberikan beberapa gambaran positif termasuk hasil dan pendapatan negara pada sesi penggulungan di Dewan Rakyat pada Khamis ini.

Related posts

Leave a Comment