Mangsa banjir Johor lebih 42,000

JOHOR BAHRU 4 Mac –  Setakat pukul 8 malam ini, jumlah mangsa banjir melonjak kepada 42,704 orang melibatkan kesemua 10 daerah di negeri ini.

Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Dr Azmi Rohani, berkata ini membabitkan 12,408 keluarga yang berada 252 pusat pemindahan sementara (PPS).

Katanya, peningkatan mangsa banjir di Johor susulan hujan lebat berterusan, di samping keadaan cuaca yang terus buruk di semua 10 daerah di negeri ini.

Azmi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) berkata, Kulai kembali terjejas selepas menutup semua PPS awal pagi kelmarin dengan 48 mangsa banjir daripada 11 keluarga ditempatkan di sebuah PPS.

Setakat ini juga banjir di Johor merekodkan empat kematian, dengan satu kes di Kluang, manakala tiga lagi di Segamat.

Katanya, Segamat kekal daerah paling terjejas dengan 13,292 mangsa daripada 3,888 keluarga di 76 PPS, Batu Pahat pula melonjak kepada 12,286 mangsa daripada 3,862 keluarga di 55 PPS.

Ini diikuti Muar dengan mangsa banjir turut melonjak kepada 3,862 daripada 1,140 keluarga di 23 PPS, di Kota Tinggi seramai 3,257 mangsa daripada 873 keluarga di 20 PPS, Tangkak seramai 2,912 mangsa daripada 866 keluarga di 24 PPS.

Mangsa banjir di Johor Bahru pula menurun dengan 517 penduduk daripada 178 keluarga di empat PPS.

Menurut Azmi, Mersing mencatatkan kenaikan dengan mangsa banjir seramai 911 orang membabitkan 264 keluarga di lima PPS manakala Pontian pula turun kepada 327 mangsa banjir daripada 87 keluarga di empat PPS.

Beliau berkata, Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) meramalkan keadaan hujan lebat berterusan tahap bahaya di Segamat, Kluang dan Mersing sehingga esok.

Hujan lebat berterusan tahap buruk membabitkan Tangkak, Muar, Batu Pahat, Pontian, Kulai, Kota Tinggi dan Johor Bahru.

Sementara itu, Azmi berkata, sebanyak 22 sungai utama di negeri ini sudah melepasi tahap bahaya, setakat pukul 8 malam tadi.

Katanya, ia membabitkan masing-masing tujuh di Segamat, lima Batu Pahat (lima), Muar (tiga), Kluang, Tangkak dan Kota Tinggi (dua) serta satu di Kulai.

Related posts

Leave a Comment