Anwar terima Ijazah Doktor Kehormat Undang-Undang

MANILA: Perdana Menteri Anwar Ibrahim dianugerahkan Ijazah Doktor Kehormat Undang-Undang atau ‘honoris causa’ Universiti Filipina (UP) sempena lawatan rasmi Perdana Menteri ke negara ini.

Penganugerahan itu mengambil kira Perdana Menteri menjadi sarjana dan memiliki kepakaran antarabangsa dalam bidang ekonomi, demokrasi, kebebasan, tadbir urus, Islam dan demokrasi serta keperluan akauntabiliti.

Ijazah doktor kehormat itu disampaikan Pengerusi Suruhanjaya Tinggi Pendidikan Filipina, J Prospero E De Vera III serta Presiden dan Pengerusi Bersama Lembaga Regen UP Angelo A Jimenez.

Naib Canselor Hal Ehwal Awam UP, Jose Wendell Capili, melalui kenyataan berkata, Perdana Menteri Malaysia menyanjungi kehidupan, karya dan pengajaran Jose Rizal.

Minat Anwar terhadap Rizaliana semakin mendalam setelah kerap mengunjungi UP semasa muda di bawah bimbingan mendiang Prof Emeritus Sejarah Universiti dan Dekan Kolej Seni dan Sains UP, Diliman Cesar Adib Majul.

Selain itu, katanya, Anwar dihormati kerana pendiriannya yang berprinsip menentang rasuah dan pengurusan ekonomi Malaysia semasa krisis Kewangan Asia.

Majlis itu turut dihadiri kira-kira 2,000 pelajar, ahli akademik dan pegawai kanan dari kedutaan serta universiti.

Anwar kemudiannya menyampaikan syarahan bertajuk ’30 Years from Asian Renaissance: Strategic Takeaways for Asean’.

UP memaklumkan Anwar juga disebut sebagai seorang pakar yang diiktiraf oleh antarabangsa dalam bidang ekonomi, demokrasi, kebebasan, tadbir urus, Islam dan keperluan serta kebertanggungjawaban.

Anwar sejak awal tahun 2000 turut memegang beberapa jawatan seperti pensyarah di St Anthony’s College of Oxford, School of Advanced International Studies di John Hopkins University dan School of Foreign Service di Georgetown University.

Anwar tiba di sini semalam untuk lawatan rasmi dua hari, lawatan rasmi kelimanya ke negara ASEAN sejak dilantik perdana menteri akhir tahun lalu selepas Indonesia, Brunei Darussalam, Singapura dan Thailand.

Sebaik tiba, beliau diberi sambutan rasmi oleh Presiden Filipina Ferdinand Marcos Jr di Istana Malacanang.

Terdahulu, Perdana Menteri memulakan lawatan rasmi hari kedua ke republik berkenaan dengan menghadiri upacara meletakkan kalungan bunga di Rizal Park, di sini.

Related posts

Leave a Comment