SEPANG 2 Mac – Ahli Parlimen Ayer Hitam, Dr. Wee Ka Siong menerima surat saman kedua daripada pengimport telur dari India susulan kenyataannya di Dewan Rakyat minggu lalu mengenai isu kekurangan telur.
Melalui kenyataan ringkas di laman Facebooknya hari ini, Ka Siong yang juga Presiden MCA terkilan dengan tindakan tersebut.
“Saya rasa terkilan kerana baru saja menerima surat kedua dari peguam yang mewakili syarikat pengimport telur dari India.
“Saya tidak gentar dan tetap mempertahankan kenyataan yang telah saya buat di dalam Dewan Rakyat,” katanya.
Pada 28 Februari lalu, Ka Siong mendedahkan beliau menerima surat saman daripada pengimport telur dari India susulan kenyataan dibuat ketika mencelah pada sesi penggulungan Usul Menjunjung Titah Diraja di Dewan Rakyat minggu lalu.
Beliau meraih perhatian apabila membawa tiga telur ayam berlainan jenis iaitu telur dari India, telur omega dan telur tempatan ke Dewan Rakyat.
Beliau ketika itu menggesa Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Mohamad Sabu menumpu soal ketidakcukupan telur ayam tempatan, bukannya mengimport telur antaranya dari India untuk menampung keperluan domestik.
Tambah Ka Siong, tiada siapa yang dapat menghalangnya untuk bersuara demi kepentingan rakyat jelata dan dalam ucapannya pada minggu lalu juga mendakwa ketiga-tiga jenis telur itu berbeza dari saiz dan harga.
“Cuma saya hairan apabila saya berucap di sini, saya (ada) terima surat daripada peguam yang mewakili pengimport dari India. Itu yang saya tak faham dan saya ditegah untuk berucap.
“Ini yang teruk. Sebab itu saya ada jawab nanti… tengok Facebook saya. Saya kena tunjukkan. Ini medan saya sebagai wakil rakyat.
Saya rasa terpanggil untuk membawa isu ini. Apa salah saya sehingga pengimport melalui peguam tulis surat kepada saya.
“Ini floor (platform) saya. Saya pun tak sebut syarikat apa dan saya tak nak tahu (syarikat apa),” katanya pada sesi perbahasan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat pada 28 Februari lalu.
