Rentas negeri catat peningkatan kes

PUTRAJAYA 26 Nov. – Hampir semua negeri menunjukkan peningkatan kes Covid-19 susulan kebenaran merentas negeri yang dilaksanakan bermula 11 Oktober lalu, kata Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin.

Dalam tempoh yang sama, sehingga semalam, empat kluster dilaporkan berpunca daripada aktiviti sosial, iaitu sejak pergerakan rentas negeri dibenarkan.

Kluster Bukit Kuda di Labuan membabitkan majlis pertunangan, Kluster Muhibbah di Kota Tinggi, Johor (majlis tahlil), Kluster Kimolohing di Ranau, Sabah (majlis sambutan hari jadi) dan Kluster Kampung Batu 66 juga di Sabah (kenduri kematian).

Menurut Khairy, enam negeri iaitu Perak, Selangor, Kuala Lumpur, Terengganu, Kelantan dan Labuan menunjukkan kadar pengisian katil bukan unit rawatan rapi (ICU) melebihi 50 peratus.

Malah, Pulau Pinang, Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya, Melaka, Terengganu dan Kelantan menunjukkan kadar pengisian katil ICU melebihi 50 peratus.

“Jadi, hampir semua negeri menunjukkan peningkatan kes Covid-19 kecuali Perlis, Sarawak dan Sabah,” katanya pada sidang media hari ini.

Khairy berkata, biarpun situasi penularan jangkitan Covid-19 dalam negara mendatar, jumlah pesakit yang dirawat di fasiliti kesihatan didapati meningkat semula merangkumi pesakit semua kategori.

Indikator purata kes aktif menunjukkan peningkatan sebanyak enam peratus dalam tempoh seminggu lalu iaitu daripada 62,224 kepada 65,722 kes dan ini disebabkan kes harian Covid-19 dalam ME (minggu epidemik) ke-46 meningkat kepada 40,600 kes berbanding 39,181 kes pada ME-45.

Walaupun lebih 98 peratus kes baharu adalah kes kategori 1 dan 2, peningkatan kes baharu dan kes aktif selama dua minggu berturut-turut ini mengakibatkan kemasukan kes ke fasiliti kesihatan juga mulai meningkat.

Malah, terdapat kes COVID-19 kategori 1 dan 2 yang merosot ke kategori lebih serius dan memerlukan kemasukan ke hospital.

Beliau berkata, secara keseluruhannya, kadar penggunaan fasiliti kesihatan termasuk katil bukan ICU, katil ICU dan Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) didapati mula meningkat semula terutama di Lembah Klang.

Related posts

Leave a Comment