Reezal Merican dengan misi 3K

KUALA LUMPUR 25 Feb. – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Reezal Merican Naina Merican menyertai saingan perebutan jawatan Naib Presiden dengan misi menawarkan 3K – Khidmat, Keupayaan dan  Kesetiaan kepada UMNO.

Beliau yang menyerahkan borang pencalonan di Auditorium UMNO, Menara Dato’ Onn pagi ini berharap penyertaannya mendapat sokongan semua.

“Alhamdulillah pada pagi ini, 25 Februari 2023 bersamaan 4 Syaaban 1444H, saya telah mengemukakan borang pencalonan untuk bertanding jawatan Naib Presiden UMNO dalam pemilihan 2023-2026 ini.

“Saya mohon doa, sokongan dan dokongan rakan-rakan seperjuangan, para pimpinan serta seluruh Keluarga UMNO dalam wadah perjuangan ini,” katanya.

Menjelaskan misinya K Khidmat, beliau adalah ahli UMNO sejak 1992, Exco Pergerakan Pemuda UMNO (2004-2008); Ketua Penerangan Pergerakan Pemuda (2008-2013); Pengerusi Biro Pelajar UMNO Luar Negara (2013-2018).

Beliau juga adalah Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang (2013-2018); Ketua UMNO bahagian Kepala Batas sejak 2013 sehingga sekarang dan Ahli MKT sejak 2013 sehingga sekarang.

Mengenai K Keupayaan, beliau pernah menjadi Setiausaha Politik Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat (1999-2000); Setiausaha Politik

Menteri Kewangan (2003-2008); Setiausaha Politik Perdana Menteri Ke-5 Tun Abdullah Ahmad Badawi (2008-2009).

Di samping itu Reezal pernah berkhidmat sebagai Timbalan Menteri Luar Negeri (2013-2018); Menteri Belia dan Sukan (2020-2021) dan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (2021-2022).

Mengenai K Kesetiaan, beliau berkata :”Kesetiaan kepada parti merupakan tawaran saya kepada perwakilan dan seluruh ahli UMNO,”

“Alhamdulillah, bukan saya seorang sahaja malah jutaan ahli UMNO masih kekal setia dengan parti ini meskipun pelbagai cabaran dan badai yang melanda,” katanya.

Related posts

Leave a Comment