KUALA PILAH 2 Ogos – Menteri Besar Negeri Sembilan yang baharu, Ismail Lasim berkata, pelantikannya ke jawatan itu adalah suatu amanah yang amat besar, penuh makna dan bukannya suatu kemuliaan yang boleh dibanggakan.
Katanya, amanah berkenaan adalah suatu tanggungjawab yang wajib dilaksanakan dengan penuh keikhlasan, kesetiaan, kejujuran, kebijaksanaan dan rasa tanggungjawab tinggi demi agama, bangsa, negeri serta rakyat Negeri Sembilan.
Beliau menyatakan demikian pada ucapan taat setia di hadapan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir sempena istiadat angkat sumpah Menteri Besar Negeri Sembilan di Istana Besar Seri Menanti, di sini, hari ini.
“Patik dengan penuh takzim dan rasa rendah diri, terlebih dahulu merafak sembah menjunjung kasih ke bawah DYMM Tuanku atas limpah perkenan dan kepercayaan yang telah dikurniakan kepada patik untuk memikul amanah serta tanggungjawab sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan.
Pelantikan ini suatu amanah yang amat besar dan penuh makna,” katanya.
Hadir sama Undang Luak Sungei Ujong, Datuk Muhammad Faris Johari dan Undang Luak Rembau, Datuk Hassan Ab Hamid.
Turut hadir Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Mohamad Hasan dan wakil rakyat Negeri Sembilan.
Ismail turut merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada seluruh rakyat Negeri Sembilan yang menunaikan tanggungjawab demokrasi serta memberikan kepercayaan dan mandat kepada Barisan Nasional (BN) serta Perikatan Nasional (PN) melalui Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-16, semalam.
“Kepercayaan dan mandat yang telah diberikan oleh rakyat merupakan suatu amanah yang amat besar. Patik menerima amanah ini dengan penuh rasa rendah diri dan kesyukuran serta menyedari bahawa kepercayaan rakyat bukanlah sekadar suatu penghormatan.
“Sebaliknya satu tuntutan untuk membuktikan bahawa kerajaan yang diberi mandat akan bekerja dengan bersungguhsungguh, mendengar denyut nadi rakyat serta melaksanakan tanggungjawab secara adil, telus dan berkesan,” katanya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Juasseh itu juga memberi jaminan bahawa amanah dan kepercayaan yang diberikan oleh rakyat akan sentiasa dipelihara dan dijunjung sebaik mungkin.
Katanya, seluruh barisan kepimpinan kerajaan negeri akan berusaha sedaya upaya untuk menjadi kerajaan yang mendengar, berkhidmat dan bekerja demi kesejahteraan rakyat serta kemajuan Negeri Sembilan.
“Pada kesempatan ini juga, patik ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada mantan Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun atas segala jasa, sumbangan, kepimpinan dan perkhidmatan bakti beliau sepanjang menerajui kerajaan negeri.
“Segala usaha, pengorbanan dan sumbangan yang telah dicurahkan dalam memacu pembangunan negeri, memperkukuh pentadbiran serta meningkatkan kesejahteraan rakyat merupakan suatu khidmat bakti yang amat dihargai dan akan sentiasa dikenang,” katanya.
Ismail berkata asas pembangunan yang dibina akan menjadi landasan dan kesinambungan yang berharga dalam usaha meneruskan kemajuan dan kemakmuran Negeri Sembilan.
Beliau turut berjanji untuk memelihara kemuliaan institusi diraja serta mempertahankan prinsip Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.
“Patik juga akan sentiasa menjunjung titah, nasihat, pandangan serta tunjuk ajar Tuanku dalam melaksanakan segala urusan dan tanggungjawab pentadbiran kerajaan negeri,” katanya.
