Berjasa kurangkan majoriti PH, deposit kekal

SEPANG 2 Ogos – Berjasa yang berjaya mengurangkan majoriti calon PH di Dewan Undangan Negeri (DUN) Nilai akan terus bertapak di kawasan itu untuk mendekati semua lapisan masyarakat, kata Presidennya Zamani Ibrahim.

Beliau yang juga calon Berjasa pada Pilihan Raya Umum Dewan Negeri (PRU DN) Negeri Sembilan ke-16 semalam memaklumkan bahawa partinya akan membuka
sebuah pejabat di Nilai sebagai pusat khidmat rakyat.

Menerusi satu kenyataan, beliau berkata, Berjasa yang bergerak solo tanpa gabungan atau kerjasama dengan mana-mana pihak berjaya mengurangkan majoriti dimenangi calon PH yang juga penyandang kerusi itu, J. Arul Kumar

Katanya, strategi kempen dari awal tidak menyasarkan blok pengundi tradisional Barisan Nasional (BN) sebaliknya menumpukan usaha menarik sokongan daripada pengundi PH yang selama ini bersama penyandang.

“Strategi itu berkesan, majoriti penyandang yang sebelum ini melebihi 10,000 undi telah susut kepada sekitar 5,000 undi sahaja ini adalah isyarat jelas bahawa rakyat Nilai mahukan suara alternatif yang benar-benar mendengar,” katanya.

Walaupun tewas dalam pertembungan empat penjuru itu, Berjasa tidak hilang wang pertaruhan.

Pada PRU DN semalam, Arul mempertahankan kerusi itu dengan majoriti 5,937 undi selepas memperoleh 15,797 manakala calon BN, Alan Lai (BN) 9,860; Zamani 5,844 dan Omar Mohd Isa (Bebas) memperoleh 167 undi.

Sebelum ini, Arul pada tahun 2023 menang dengan majoriti 10,889 setelah memperoleh 19,133 dalam pertandingan empat penjuru, melibatkan calon PN dan dua Bebas.

Dalam pada itu, beliau mengucapkan tahniah kepada Arul dan mengingatkan kemenangan itu bukan masa untuk berlegar dalam leselesaan.

“Selama lima tahun akan datang, Berjasa akan sentiasa memantau dan mengasak beliau agak melaksanakan tanggungjawab dengan lebih baik, menyelesaikan isu-isu yang ditanggung rakyat termasuk pembinaan hospital,” katanya.

Zamani berkata dengan sokongan anak muda yang bermula di Nilai, Berjasa akan kembali lebih kuat pada pilihan raya lima tahun akan datang.

Nnn

Related posts

Leave a Comment