Azalina sertai rebutan Naib Presiden UMNO

KUALA LUMPUR 25 Feb. –  Ahli Parlimen Pengerang, Azalina Othman Said, menepati desas desus perebutan jawatan Naib Presiden UMNO selepas beliau menghantar borang pencalonannya bagi merebut jawatan itu tengah hari ini.

Dengan pengesahan itu, beliau yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) adalah satu-satunya calon wanita yang mencabar jawatan No. 3  parti itu setakat ini.

Azalina menghantar borang pencalonannya pada pukul 12 tengah hari ini di Auditorium UMNO di Menara Dato’ Onn.

Penyertaan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO itu menjadikan sekurang-kurangnya lapan pemimpin UMNO yang sudah menghantar borang pencalonan bagi merebut jawatan itu menjelang tempoh akhir pencalonan esok.

Turut menghantar borang pencalonan hari ini adalah Ahli MKT yang juga bekas Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Reezal Merican Naina Merican.

Setakat ini, dua penyandang jawatan Naib Presiden telah mengemukakan borang pencalonan iaitu Ahli Parlimen Kota Tinggi, Mohamed Khaled Nordin dan Ketua UMNO Bahagian Padang Terap, Mahdzir Khalid.

Selain itu, Ahli Parlimen Titiwangsa,  Johari Abdul Ghani; Ahli Parlimen Simpang Renggam, Hasni Mohamad; Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Dr Zambry Abdul Kadir dan Menteri Besar Pahang, Wan Rosdy Wan Ismail.

Hanya seorang penyandang Naib Presiden iaitu Ismail Sabri Yaakob yang juga Ahli Parlimen Bera belum mengesahkan diri sama ada mempertahankan jawatannya dalam parti atau sebaliknya.

Related posts

Leave a Comment