DUNGUN 25 Feb. – Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) perlu memahami kekangan kewangan dihadapi kerajaan ketika ini ketika membuat tuntutan meningkatkan pendapatan penjawat awam
Timbalan Perdana Menteri, Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan, kerajaan sentiasa berusaha untuk memenuhi harapan dan permintaan penjawat awam di sebalik kekangan kewangan sedang dialami.
“Saya fikir CUEPACS sebagai sebuah organisasi yang menjaga kepentingan penjawat awam, tentu memahami situasi ini.
“Pada hemat saya, Perdana Menteri juga memberi keprihatinan tinggi kepada permintaan penjawat awam. Ini termasuk memberi bonus khas sebanyak RM700 sempena Aidilfitri dan RM350 bagi pesara,” katanya.
CUEPACS dilaporkan kecewa kerana Belanjawan 2023 dibentangkan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, semalam, dilihat tidak mampu menyelesaikan masalah tekanan kos sara hidup yang didepani penjawat awam.
Menurut Ahmad Zahid, sebanyak RM46 bilion daripada RM388.1 bilion diperuntukkan dalam Belanjawan 2023, adalah untuk membayar faedah hutang.
Misalnya, emolumen dan wang pencen yang terpaksa dibayar… itu adalah kos tetap yang harus ditanggung oleh pihak kerajaan.
Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja ke Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) di Ibu Pejabat KETENGAH di Bandar Al Muktafi Billah Shah (AMBS), di sini, hari ini.
Dalam lawatan itu, Ahmad Zahid turut menyaksikan penyerahan sumbangan RM101,900 hasil kutipan warga KETENGAH serta anak syarikat, kepada Tabung Bencana Gempa Bumi Turkiye-Syria.
Semalam, Presiden CUEPACS, Adnan Mat ketika mengulas mengenai Belanjawan 2023 dalam satu kenyataan, berpandangan tiada sebarang komitmen diberikan kerajaan untuk menilai semula sistem saraan baharu perkhidmatan awam melalui model gaji dan upah yang mampu meningkatkan pendapatan penjawat awam supaya lebih baik berbanding peningkatan kos sara hidup.
