Bersangka baik bawa pakar HDB Singapura

KUALA LUMPUR 23 Feb. – Pembangkang diminta bersangka baik, bukan bersangka buruk terhadap langkah kerajaan membawa masuk pakar daripada agensi perumahan Singapura, bagi berkongsi kepakaran dalam sektor pembinaan perumahan di negara ini.

Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, tidak ada salahnya Malaysia belajar daripada negara lain demi kepentingan rakyat, sebagai contoh belajar daripada Jepun, walaupun negara itu pernah menjajah Malaysia.

“Kita yang penting, perlu bersangka baik, bukan bersangka buruk. Niatnya adalah suci. Biar kita miskin harta, jangan miskin minda.

“Jika kita boleh belajar daripada sebuah negara yang menjajah kita, apa salahnya kita belajar daripada negara jiran ASEAN yang berjaya, termasuk Indonesia, Singapura dan Thailand,” katanya.

Beliau menjawab soalan tambahan Shaharizukirnain Abd Kadir (PN-Setiu) mengenai sama ada terdapat kerajaan negeri yang menggunakan pakar perumahan Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HBD) dan kejayaan yang dicapai, selain kesan kepada pemilikan tanah Bumiputra, khususnya Melayu serta kemampuan mereka membeli rumah yang dibina.

Kor Ming berkata, Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) sentiasa berusaha dan meneroka inisiatif untuk menambah baik sektor perumahan negara, termasuk mengadakan sesi perkongsian pengalaman dan pengetahuan dengan pelbagai agensi dalam serta luar negara, termasuk HDB.

Katanya, HDB menerima pelbagai anugerah dan pengiktirafan berkaitan sektor perumahan di peringkat antarabangsa dan sehingga kini, berjaya membina lebih sejuta unit perumahan sosial mampu milik.

Antara cadangan topik bagi sesi perkongsian yang akan diadakan bersama HDB merangkumi evolusi perumahan sosial membabitkan dasar dan hala tuju dan pengurusan serta mekanisme program perumahan sosial.

“KPKT juga bercadang menimba ilmu daripada Turkiye mengenai pembangunan tanah wakaf sebagai salah satu usaha pembangunan negara tanpa mengira kaum.

“Justeru, saya nak menasihatkan pembangkang, orang kata, tak tumbuh tak

melata ,tak sungguh orang tak kata. Kedua-dua pihak harus bekerjasama dalam usaha membina semula negara kita,” katanya.

(Foto projek perumahan di Singapura – sumber FB HDB)

Related posts

Leave a Comment