Kes harian Singapura 2,236

SINGAPURA 29 Sept. – Singapura seperti dijangka sebelum ini merekodkan lebih 2,000 kes harian apabila 2,226 kes tempatan dan 10 kes import dicatatkan setakat tengah hari semalam yang membawa kepada jumlah keseluruhan 91,775.

Sebelum ini Singapura menjangkakan kes harian boleh mencecah 1,000 atau 2,000 malahan sehingga 5,000 kes dalam minggu-minggu akan datang dan jumlah yang direkodkan semalam adalah yang tertinggi setakat ini.

Daripada 2,226 kes tempatan itu, sebanyak 1,711 kes dalam kalangan masyarakat dan 515 kes melibatkan penghuni dormitori.

Menurut Kementerian Kesihatan (MoH), terdapat lima kematian dilaporkan akibat koronavirus itu yang melibatkan empat lelaki tempatan berusia 74, 73, 69 dan 79 manakala seorang lagi wanita tempatan berumur 77 tahun.

Ini menjadikan jumlah kematian meningkat kepada 85 orang manakala untuk tempoh

bulan September sebanyak 30 orang.

Dalam kalangan lima kes itu, dua belum divaksin, seorang daripadanya sudahpun menerima suntikan dos pertama manakala dua lagi sudah lengkap divaksin.

Kesemua mereka mengalami pelbagai masalah kesihatan sedia ada.

Sementara itu, terdapat 1,325 kes Covid-19 yang dimasukkan ke hospital dengan kebanyakannya berada dalam keadaan baik dan berada di bawah pemantauan.

Daripada jumlah itu, 209 kes mengalami sakit teruk yang memerlukan bantuan oksigen tambahan dan 30 pula dalam keadaan tenat di unit jagaan rapi (ICU). Dalam kalangan mereka yang tenat adalah 201 warga emas berusia lebih 60 tahun.

Related posts

Leave a Comment