Bersatu terima peletakan jawatan Wan Saiful

KUALA LUMPUR 22 Feb. – Presiden Bersatu,  Muhyiddin Yassin mengesahkan peletakan jawatan Wan Saiful Wan Jan selaku Ketua Penerangan parti, berkuat kuasa hari ini.

Katanya, Ahli Parlimen Tasek Gelugor itu memaklumkan hasrat itu ketika beliau  berjumpa Wan Saiful pagi ini dan surat peletakan jawatan rasmi akan dihantar kepadanya hari ini.

 Muhyiddin memuji sikap Ahli Parlimen Tasek Gelugor itu yang disifatkan sebagai satu langkah bertanggungjawab.

Sehubungan itu, beliau berkata langkah itu sekali gus menggambarkan satu standard daripada Bersatu apabila ahlinya berdepan tuduhan mahkamah.

“Ini satu set standard kita nak tunjukkan bahawa dia berdepan tuduhan supaya tidak menimbulkan salah pandangan terhadap Bersatu. Beliau sendiri mengatakan ‘saya meletak jawatan’.

“Jadi satu langkah yang cukup saya hargai tetapi tanggungjawab ini akan terus dipimpin ahli MPT lain yang akan dipilih dalam tempoh segera.

“Ini kerana tugas ketua penerangan penting kerana kita nak menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN). Jadi kita akan teruskan kerja-kerja baik yang dibuat Wan Saiful,” katanya.

Dengan pendekatan sebegitu, Muhyiddin turut berharap ia dapat menangkis pandangan negatif terhadap parti.

Jelasnya, ia bukan menghukum sebaliknya tindakan Wan Saiful itu adalah secara sukarela.

“Kita harap langkah kita ambil ini akan memudahkan dan tidak akan timbul pandangan negatif terhadap kita. Ini satu sifat cukup mulia dan saya sanjung supaya kita berdepan dengan bermaruah,” katanya.

Related posts

Leave a Comment