Pelitup muka perakuan SIRIM 1 Julai

PUTRAJAYA 22 Feb. – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menetapkan tarikh penguatkuasaan baharu bagi Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Pelitup Muka Bukan Perubatan) 2022 adalah mulai 1 Julai ini.

KPDN dalam kenyataannya memaklumkan langkah itu bagi memberi peluang kepada lebih ramai pengeluar dan pengedar di negara ini untuk mendapatkan sijil penandaan daripada SIRIM QAS International Sdn Bhd.

Berikutan itu, KPDN akan mengadakan larangan import terhadap pelitup muka bukan perubatan yang tidak mempunyai standard perakuan seperti telah ditetapkan.

“Kerajaan percaya tempoh sehingga hujung Jun ini adalah mencukupi bagi pihak pengeluar dan pengedar untuk memperoleh standard perakuan pelitup muka bukan perubatan yang dijual dalam negara,” katanya.

Sebelum ini tarikh penguatkuasaan pada mulanya ditetapkan pada 4 Julai 2022, namun ditangguh kepada 1 Januari lalu.

KPDN memaklumkan sepanjang tempoh penangguhan itu, pihak berkenaan mengambil pendekatan pendidikan yang mana aktiviti penguatkuasaan dan tindakan hukuman tidak dilakukan kepada syarikat atau individu yang mengedar, mengeluar dan menjual pelitup muka bukan perubatan yang tidak mempunyai perakuan standard yang ditetapkan.

Selain itu, KPDN meminta mana-mana pihak yang ingin mengedar, mengeluar atau menjual pelitup muka bukan perubatan di dalam negara mestilah memastikan produk itu sudah mendapat standard perakuan berkaitan.

“Maklumat yang berhubungan dengan standard perakuan pelitup muka bukan perubatan itu mestilah disertakan pada kotak atau bungkusan pelitup muka bukan perubatan berkenaan,” katanya.

Related posts

Leave a Comment