Tiada lagi pengeluaran KWSP

KUALA LUMPUR 22 Feb. –  Kerajaan kekal dengan berpendirian untuk tidak membenarkan pengeluaran wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) termasuk secara bersasar, kata Timbalan Menteri Kewangan, Ahmad Maslan.

Beliau bagaimanapun percaya ada kaedah lain dalam Belanjawan 2023 yang akan dibentangkan Jumaat ini, sebagaimana yang dijanjikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membantu kumpulan ini dan golongan rakyat

Ahmad Maslan, berkata kebenaran bagi pengeluaran KWSP sudah diberikan sebanyak empat kali ketika pandemik Covid-19 sebelum ini dan negara yang melakukan perkara sama, turut tidak membenarkan pengeluaran wang caruman.

Menjelaskan perkara itu pada sesi penggulungan perbahasan Titah Diraja bagi Kementerian Kewangan di Dewan Rakyat, hari ini, Ahmad Maslan berkata, berdasarkan rekod, seramai 6.7 juta atau 51.5 peratus pencarum di bawah usia 55 tahun kini mempunyai simpanan RM10,000 dan ke bawah.

“Apabila kita melihat kepada angka, mereka yang layak (untuk membuat pengeluaran), sebenarnya mereka tidak mahu keluarkan pun, masalahnya bagi yang sikit (simpanan), makin sikit pengeluaran (untuk dilakukan).

Walaupun mereka akan ada gaji, tapi struktur gaji di Malaysia ini adalah rendah. Kita ingin pastikan rakyat berpendapatan tinggi, maka KWSP mereka merentas kaum juga akan tinggi dan ini antara perkara utama yang ingin kita lakukan,” katanya.

Ahmad menjawab celahan beberapa Ahli Parlimen iaitu Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (BN-Bera), Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad (PH-Kuala Selangor) dan Mohd Syahir Che Sulaiman (PN-Bachok) yang meminta kerajaan mempertimbangkan pengeluaran KWSP secara bersasar, dengan syarat yang lebih ketat.

Sementara itu, Ahmad Maslan, berkata Malaysia dijangka tidak akan mengalami kegawatan ekonomi pada tahun ini, berdasarkan momentum pertumbuhan ekonomi Malaysia yang masih kekal positif, terutama disokong permintaan domestik yang stabil, khususnya perbelanjaan swasta.

Ia susulan jangkaan penambahbaikan pasaran buruh yang berterusan serta peningkatan aktiviti ekonomi dan sosial, terutama berkaitan pelancongan.

Katanya, Fitch Ratings turut mengekalkan penarafan kredit negara pada tahap “triple B plus”, dengan tinjauan stabil pada 2023.

“Kerajaan akan terus mengambil langkah proaktif bagi meningkatkan daya tahan ekonomi, dengan mempelbagaikan sumber pertumbuhan serta memastikan persekitaran kondusif bagi menarik minat pelabur asing dan domestik, terutama dalam bidang bernilai tambah tinggi, yang dapat mewujudkan peluang pekerjaan dan berpendapatan tinggi,” katanya.

Ahmad juga memberitahu, kerajaan akan membentangkan Akta Tanggungjawab Fiskal pada tahun ini, yang antara lain akan mengehadkan pinjaman kerajaan hanya bagi tujuan pembangunan dan kadar pembayaran khidmat hutang tidak lebih 15 peratus daripada hasil.

“Dari segi tanggungjawab fiskal, kita tidak boleh meminjam untuk membayar gaji atau perbelanjaan mengurus (OE) dan kita hanya meminjam untuk membayar perbelanjaan pembangunan (DE). Itu adalah garis panduan fiskal.

“Sama ada akan berlaku (pinjaman selain untuk DE) pada masa akan datang, itu kita akan lihat dan cuba untuk mengelakkannya dan sebab itu, kita akan membentangkan Akta Tanggungjawab Fiskal,” katanya.

Related posts

Leave a Comment