Malu ADUN lompat masih berlaku di Sabah

KUALA LUMPUR 21 Feb. – Malu saya! Di Sabah terkenal dengan wakil rakyat suka lompat parti. Macam monyet. Bila nak berhenti,” Begitulah luahan Datuk Seri Bung Moktar Radin (BN Kinabatangan) di Dewan Rakyat petang ini.

Ketika mengambil bahagian pada sesi perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja, Bung Moktar yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah mahu pihak berkuasa menjalankan siasatan.

Beliau yang juga Ketua Perhubungan UMNO Sabah menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyiasat tindakan lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) parti itu yang melompat parti.

“Saya minta penguat kuasa SPRM, polis siasat mereka yang melompat ini sebab memalukan. Sabah terkenal dengan wakil rakyat yang suka melompat parti… ini harus dihentikan.

“Mereka memasang hasrat bertanding dan menang sahaja, akan cari peluang untuk melompat supaya dapat jadi menteri atau pembantu menteri, dapat RM1 juta, RM2 juta dan RM5 juta… ini kerja ADUN Sabah yang terkenal di Sabah suka melompat,” dakwanya.

Bung Moktar tidak mahu adanya unsur pembelian ADUN demi mempertahankan kuasa, sekali gus mendorong mereka melompat parti.

Bekas Timbalan Ketua Menteri yang agak ‘berang’ itu melepaskan geramnya terhadap wakil rakyat yang melompat dengan menyamakan tindakan ADUN itu seolah-olah seperti monyet yang tabiatnya suka melompat.

Malahan beliau juga menamakan dua wakil rakyat Sindumin dan Sugut yang sering melompat parti yang baginya, tidak ada parti yang tidak pernah mereka lompat dan jika kerajaan dipimpin Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, mereka akan lompat lagi.

Menjawab pencelahan seorang ahli Parlimen yang bertanyakan pandangan mengenai lima ADUN UMNO yang melompat parti hari ini, beliau berkata:

“Ini yang saya sentuh, mereka melompat macam monyet, jatuh sana jatuh sini, asal melompat dapat jawatan, dapat duit…. bila nak berhenti Sabah ni… malu saya,” katanya.

Hari ini, lima ADUN UMNO mengisytiharkan keluar parti dan mengumumkan menyertai Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) yang dipimpin Hajiji.

Lima ADUN berkenaan adalah Datuk Dr Yusof Yacob (Sindumin); Datuk Jasnih Daya (Pantai Dalit); Datuk Mohd Arsad Bistari (Tempasuk); Datuk Hamid Awang (Balung) dan Datuk James Ratib (Sugut).

Tiga bekas ADUN Warisan yang keluar parti itu juga baru-baru ini menyertai Gagasan Rakyat.

Bung Moktar berkata, pihaknya yakin sepandai-pandai tindakan ADUN yang suka melompat parti ini akhirnya akan jatuh ke tanah juga kerana rakyat sedang memerhatikan mereka.

Beliau turut mempertikaikan tindakan kerajaan negeri yang didakwanya sibuk mempertahankan kuasa daripada memikirkan hala tuju rakyat.

“Akta antilompat parti tidak diterjemahkan di Sabah sebab itu pada hari ini masih ada pembelian ADUN daripada parti lain… ini perbuatan orang yang tidak rasional.

“Dulu sayapun tertanya-tanya bila kerajaan negeri hendak melaksanakan akta antilompat parti, rupa-rupanya ada udang di sebalik mi,” katanya.

Related posts

Leave a Comment