Siasatan vandalisme sekolah selesai

BANGI 20 Feb. – Proses siasatan terhadap sekumpulan pelajar yang terbabit dalam aktiviti vandalisme di dalam bangunan sebuah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) di Seberang Perai Selatan sudah pun selesai, kata Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.

Beliau berkata Kementerian Pendidikan (KPM) sedang melaksana program intervensi khususnya memberi khidmat kaunseling terhadap semua pelajar yang terbabit.

“Kita sudah selesai siasatan dan kita sudah panggil kanak-kanak ini, ibu bapa mereka dan sudah melakukan pelbagai intervensi.

Proses intervensi ini juga sudah dilakukan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan kaunseling juga sudah kita susuli. Lepas ini kita lihat dari hasil kauseling itu dan kita lihat apa yang menyebabkan mereka jadi begitu,” katanya.

Beliau ditemui media selepas meninjau hari pertama peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di SMK Jalan Empat di Bandar Baru Bangi di sini, hari ini.

Pada masa yang sama, beliau juga meminta orang ramai berhenti tularkan video vandalisme berkenaan bagi mengelak program intervensi yang sedang dijalankan terganggu.

Beliau juga menggesa mana-mana pihak tidak mendedahkan wajah dan identiti kanak-kanak ini termasuk identiti sekolahnya.

“Kita memang mahu jaga dan lindungi anak-anak ini supaya dia dapat kaunseling yang berterusan. Kita bimbang jika terus ditularkan, proses intervensi itu tidak dapat berjalan dengan baik,” katanya.

Fadhlina berkata, proses intervensi itu penting bagi memastikan pelajar yang terbabit diberi peluang untuk memperbaiki diri selain menjadi kesedaran kepada murid lain.

“Kita jangan putus asa. Saya faham ramai yang marah melihat kejadian itu. Saya fikir anak kita mesti diberi peluang, teguran dan kaunseling yang berterusan.

Saya fikir ada isu yang perlu ditangani secara komuniti dan tugas kita sebagai ibu bapa, guru dan kaunselor supaya mereka tidak mengulangi perbuatan ini,” katanya.

Related posts

Leave a Comment