SEPANG 20 Feb. -Kerajaan boleh mencari inisiatif lain bagi membantu rakyat tanpa mengeluarkan kali ketiga wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), kata bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.
Katanya, ramai yang mahu mengeluarkan wang KWSP tetapi harus diingat bahawa simpanan itu adalah bagi menjamin masa depan persaraan pencarum.
“Kerajaan perlu dengar rintihan rakyat, sekarang mereka tengah susah susulan inflasi, kenaikan barang dan sebagainya. Tanpa menjejaskan masa depan rakyat,” ujar beliau ketika bertugas sebagai DJ HotFM pagi ini.
Khairy berpendapat, rakyat Malaysia perlu berpandangan jauh sebelum meminta pengeluaran KWSP buat kali ketiga serta menyuarakan kebimbangan jika rakyat menyalahgunakan wang tersebut sekiranya pengeluaran seterusnya dibuat..
“Kita lihat sebelum ini, masa kerajaan benarkan pengeluaran, berapa ramai yang keluarkan wang tersebut dan tak guna betul-betul,” katanya.
Melalui program itu, pemanggil meminta kerajaan hanya membenarkan individu pertama kali atau tidak pernah mengeluarkan simpanan tersebut.
Khairy menjelaskan terdapat inisiatif boleh diusulkan oleh pihak kerajaan bagi membantu rakyat yang sedang kesusahan tanpa menjejaskan masa depan mereka.
“Kalau kita tak dapat bergantung kepada simpanan KWSP, maka ia terpulang kepada kerajaan. Banyak cara lain untuk bantu,” katanya.
