Pertukaran tebusan diteruskan

BAITULMAQDIS – Pejuang Hamas akan membebaskan tiga rakyat Israel hari ini dalam pertukaran tahanan-tebusan kelima dengan Israel sebagai sebahagian daripada perjanjian gencatan senjata di Gaza.

Tiga lelaki yang akan dibebaskan itu adalah Eli Sharabi, Or Levy serta Ohad Ben Ami dan senarai nama berkenaan turut disahkan oleh pejabat Netanyahu.

Kumpulan advokasi Kelab Banduan Palestin pula memaklumkan bahawa Israel akan membebaskan 183 tahanan Palestin dan 111 daripadanya adalah warga Gaza yang ditahan sejak perang Palestin-Israel tercetus 7 Oktober 2023.

Setakat ini, Israel dan Hamas sudah menyelesaikan empat pertukaran di bawah fasa pertama perjanjian gencatan senjata.

Hamas juga sudah membebaskan 18 tebusan sebagai pertukaran untuk kira-kira 600 tahanan Palestin yang dibebaskan dari penjara Israel.

Sejak gencatan senjata berkuat kuasa pada 19 Januari lalu, 13 tebusan Israel atau pemegang dua kewarganegaraan sudah dibebaskan, bersama lima tebusan warga Thailand yang dilepaskan di luar perjanjian fasa pertama.

Secara keseluruhan, 33 tebusan, termasuk lapan yang menurut Israel sudah meninggal dunia, dijangka dibebaskan dalam tempoh 42 hari pertama perjanjian itu sebagai pertukaran untuk kira-kira 1,900 tahanan Palestin yang ditahan oleh Israel.

Related posts

Leave a Comment