Pemuda Pas terima kasih publisiti HIMPIT 2023

SEPANG : Tiada istilah keganasan dan provokasi pada program Himpunan Pemuda Islam Terengganu (HIMPIT 2023) yang menimbulkan persoalan dalam kalangan warga netizen selepas tular di media sosial.

Ketua Pemuda Pas Terengganu, Mohd Harun Esa, berkata sudah menjadi tradisi perhimpunan itu dengan lapan ahli Pemuda Pas kawasan membawa replika mengikut tema perarakan masing-masing.

“Ada yang membawa tema sukan, pelantar minyak, wisma Darul Iman, bahkan ada yang berkuda pada penganjuran HIMPIT kali ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau mengulas video yang tular berkaitan perhimpunan itu di mana sekumpulan ahli Pemuda Pas berarak membawa replika pedang, lembing dan perisai di Setiu, Terengganu pada Jumaat lalu.

Berikutan itu, banyak pihak mempersoalkan program itu yang dikaitkan dengan keganasan dan provokasi.

Mohd Harun berkata, program seumpama itu diadakan sejak 1991 dan setiap kawasan membawa replika mengikut tema perarakan masing-masing mengikut kreativiti wakil Pemuda Pas kawasan mempamerkan idea masing-masing.

“Ada antara mereka yang memulakan persiapan hampir sebulan semata-mata untuk menyertai program kali ini. Anggota polis trafik juga ada bersama kami membantu mengawal lalu lintas ketika perarakan setiap kontinjen berlangsung dengan aman,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, pihaknya sedia memberi kerjasama kepada pihak berkuasa jika ada siasatan dibuat berkait perarakan bersama replika pedang, lembing dan perisai pada perhimpunan berkenaan.

“Saya sangat menyarankan kepada semua pihak yang menggunakan isu perarakan HIMPIT 2023 kali ini untuk sentiasa mesra dengan program anjuran Pas selepas ini.

“Supaya dapat mengambil gambaran sebenar perjalanan sepanjang acara-acara yang disusun berlangsung. Benarlah sabdaan Nabi SAW “Manusia akan menentang apa yang mereka jahil”,” katanya.

Beliau juga menjelaskan pemakaian seragam perang zaman sahabat oleh salah satu kontinjen hanyalah sebahagian daripada memenuhi tema perarakan mereka.

Katanya, ia sama seperti perarakan dan pertandingan ‘cosplay’ yang dibuat di seluruh pelusuk negara yang menayangkan senjata adiwira kegemaran mereka.

“Bahkan ada filem klasik perjuangan yang ditayangkan dengan menggunakan senjata juga diterima dalam masyarakat.

“Bagaimanapun kami tetap berterima kasih kepada semua pihak yang memberi publisiti kepada program tahunan Pemuda Pas Terengganu ini secara langsung atau tidak,” katanya.

Related posts

Leave a Comment