Tingkat kesedaran kaedah lupus al-Quran

PUTRAJAYA 19 Feb. – Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) ketika ini menjalankan siasatan berhubung pembuangan kitab suci al-Quran di sebuah longkang berhampiran Tasik Sri Murni, Jinjang.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama),  Dr Mohd Na’im Mokhtar, berkata pihaknya dukacita dengan kejadian membuang al-Quran yang tular di media sosial hari ini.

Justeru, beliau mengingatkan pihak yang sengaja melakukan perbuatan itu boleh dikenakan tindakan berdasarkan peruntukan undang-undang.

Pada masa sama, beliau merakamkan penghargaan dan pujian atas keprihatinan pihak berkuasa, Ahli Jawatankuasa Pengurusan Masjid setempat dan orang ramai, yang bekerjasama menangani isu itu, sebagai tanda menghormati kemuliaan al-Quran.

“Kita menasihatkan orang ramai supaya sentiasa memelihara kemuliaan al-Quran setiap masa. Al-Quran perlu diurus dengan cermat dan tertib bagi menjaga kemuliaan ayat suci berkenaan.

“Orang ramai boleh merujuk dengan pihak berkuasa agama Islam negeri iaitu Jabatan Agama Islam Negeri-Negeri (JAIN) mengenai garis panduan dan kaedah untuk melupuskan naskhah al-Quran,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau juga memaklumkan pihaknya akan terus mempertingkatkan program penerangan dan pendidikan berkaitan kaedah pelupusan al-Quran kepada masyarakat Islam.

Terdahulu, tular satu video menerusi aplikasi media sosial Tik Tok, penemuan al-Quran, yang dibuang individu tidak bertanggungjawab di sebuah longkang.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai, berkata hasil siasatan awal mendapati sebanyak 13 naskhah al-Quran yang dijumpai dalam longkang, sengaja dibuang oleh orang tidak bertanggungjawab.

Beliau berkata, kes itu disiasat di bawah Seksyen 295 Kanun Keseksaan kerana membinasakan kitab suci al-Quran dengan tujuan untuk mengaibkan agama.

Katanya, siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan kerana mendatangkan mudarat keharmonian ke atas agama.

Related posts

Leave a Comment