DAP NS mahu pertahan 11 kerusi DUN

SEREMBAN 19 Feb. – DAP Negeri Sembilan akan bertanding mempertahankan 11 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang, kata Pengerusinya, Anthony Loke.

Loke yang juga Setiausaha Agung DAP berkata, semua kerusi itu dimenangi parti berkenaan sejak Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13).

“Kita (DAP) akan bertanding mempertahankan 11 kerusi yang dimenangi sejak PRU13 lagi. Kita memenangi 10 kerusi pada PRU 2008 (PRU12) dan kemudian 11 kerusi pada PRU13. Itu adalah asasnya dan saya memaklumkan kedudukan itu pada Konvensyen DAP negeri, hari ini.

“Hasrat kita untuk mempertahankan 11 kerusi (DUN) disandang itu. Saya berjanji kepada Menteri Besar untuk ‘bagi’ (memenangi) 11 kerusi itu pada PRN nanti.” katanya selepas merasmikan Konvensyen Tahunan DAP Negeri Sembilan Kali Ke-21, di sini, hari ini.

Hadir sama Menteri Besar merangkap Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan, Aminuddin Harun, dan Timbalan Pengerusi DAP negeri, S Kunasegaran.

Loke yang juga Menteri Pengangkutan juga menjelaskan , pihaknya hanya mahu mempertahankan kerusi sedia disandang dan tidak akan meminta kerusi tambahan untuk ditandingi pada PRN kelak.

Bagaimanapun, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chennah berkata, terpulang kepada Aminuddin untuk berunding dengan rakan kerjasama daripada BN.

“Saya tidak boleh berfikir atau bercakap bagi pihak parti lain (MCA). Prinsip kita ialah mempertahankan 11 kerusi itu. Begitu juga dengan parti gabungan PH, iaitu AMANAH dan PKR, terpulang kepada parti masing-masing untuk menyatakan pandangan mereka (dalam menentukan kedudukan jumlah kerusi),” katanya.

Loke berkata, masalah pembahagian kerusi tidak akan timbul jika rundingan peringkat negeri dapat diselesaikan dengan baik.

“Kalau negeri boleh selesaikan masalah, biasanya kita hanya akan bawa saja ke pusat untuk makluman dan mungkin pusat akan memberi sedikit pandangan atau panduan.,” katanya.

Loke berkata, budaya politik di Negeri Sembilan adalah berbeza dengan negeri lain dan tiada pertikaian besar antara kerajaan dan pembangkang di negeri ini sebagaimana diterjemahkan pada sidang DUN sebelum ini.

“Melihat situasi ini, saya yakin akan ada satu suasana kondusif untuk kita berunding dan boleh mencapai persefahaman di Negeri Sembilan,” katanya.

Mengulas mengenai ramalan pelbagai pihak bahawa Perikatan Nasional (PN) mampu mencipta kejutan di negeri ini pada PRN akan datang, Loke berkata,
DAP Negeri Sembilan akan merangka strategi bagi memastikan kejayaan parti itu.

Sementara itu, Aminuddin dalam ucapannya meramalkan PRN akan diadakan pada Julai tahun ini dengan mengambil kira pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan, pada 1 Jun depan.

Beliau bagaimanapun akan membincangkan perkara itu minggu depan bersama dengan Menteri Besar dan Ketua Menteri membabitkan enam negeri yang perlu mengadakan PRN.

“Kita berharap dapat menentukan tarikh pilihan raya ini bersama,” katanya.

Related posts

Leave a Comment