Mohd Rafiq diterima semula sertai UMNO

KUALA LUMPUR 17 Feb. – Bekas Naib Presiden Bersatu, Mohd Rafiq Naizamohideen diterima semula sebagai anggota UMNO berkuatkuasa 18 Mac depan iaitu selepas selesai pemilihan parti.

Dalam satu kenyataan hari ini, beliau berkata, keputusan itu dibuat melalui Mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO yang dipengerusikan Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi malam tadi.

Sebelum itu Mesyuarat Pengurusan UMNO yang dipengerusikan Timbalan Presiden Mohamad Hasan turut membincangkan perkara itu.

“Saya sedar, keputusan yang saya buat untuk menyertai UMNO ketika ini tidak popular, tidak mungkin dipersetujui dan tidak mungkin dapat diterima oleh semua pihak.

“Namun, saya yakin dan percaya, perjalanan karier politik saya yang penuh mencabar dari awal penglibatan saya sehingga ke hari ini termasuklah perjuangan saya semula bersama UMNO adalah ketentuan Allah SWT,” katanya..

Beliau menegaskan, kemasukannya ke dalam UMNO bukan kerana kedudukan parti itu yang berada dalam Kerajaan Perpaduan hari ini.

“Saya dan rakan-rakan sudah membuat keputusan untuk tidak bersama Bersatu dan menyokong UMNO sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-15 lagi ketika belum lagi diketahui kedudukan parti mana yang bakal mentadbir negara.

Saya sedar, kehadiran saya ke dalam UMNO bukan ketika UMNO melalui zaman kegemilangannya seperti sebelum ini sebaliknya UMNO melalui cabaran terhebat dalam sejarahnya kerana hanya berjaya memperolehi 26 kerusi parlimen pada PRU Ke-15 baru-baru ini,” katanya.

Beliau juga menyatakan tekad dan iltizam untuk membantu dan berjuang bersama kepemimpinan UMNO Malaysia, kepemimpinan UMNO Melaka dan UMNO Bahagian Tangga Batu untuk mengembalikan semula sokongan dan kepercayaan rakyat kepada UMNO.

“Saya bersyukur apabila perjuangan saya dalam UMNO yang terhenti seketika sebelum ini dapat diteruskan kembali,” katanya.

Mohd Rafiq pada 30 Oktober 2022 mengumumkan peletakan semua jawatannya dalam Bersatu dan keluar dari parti berkenaan selepas tidak dipilih sebagai calon Perikatan Nasional (PN) bagi Parlimen Tangga Batu walaupun telah enam tahun berkhidmat di kawasan itu sejak 2016.

Sebelum menyertai Bersatu, pada Oktober 2016, Rafiq digantung keahliannya oleh UMNO itu selama enam tahun atau dua penggal manakala jawatannya sebagai EXCO Pemuda UMNO juga digugurkan.

Tindakan itu dikenakan selepas beliau didakwa melakukan sabotaj kepada bekas Presiden UMNO, Najib Razak serta Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka ketika itu, Idris Haron melalui program Bicara Negarawan yang dicadang dianjurkan di Melaka pada 2015.

Related posts

Leave a Comment