KUALA LUMPUR 17 Feb. – Selepas lima tahun berehat, Shahrizat Abdul Jalil mengesahkan penyertaan dalam pertandingan bagi jawatan Ketua Pergerakan Wanita UMNO pada Mac ini.
Shahrizat yang pernah menjadi ketua wanita UMNO sejak 2008, sebelum berundur pada tahun 2018 menghantar borang penamaan calon hari ini menerusi wakilnya Suhana Zam di Ibu Pejabat UMNO di sini.
Melalui Facebooknya, bekas Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat itu memuat naik beberapa foto beliau menandatangani borang pencalonan untuk diserahkan melalui wakilnya.
Borang pencalonan Shahrizat telah dihantar dan diterima urusetia pemilihan pada pukul 11.20 pagi ini.
Sementara itu, Astro Awani melaporkan Shahrizat menjelaskan sebagai ahli parti yang setia serta menghormati demokrasi yang diamalkan dalam UMNO mendorong beliau memutuskan untuk bertanding jawatan Ketua Wanita UMNO.
Katanya, sesiapa sahaja dalam UMNO bebas untuk mencalonkan nama mereka dalam mana-mana jawatan yang dipertandingkan.
“ Kita semua ahli UMNO, jadi tidak ada masalah dengan demokrasi, ada pertandingan kita cuba nasib. Semuanya bertitik tolak pada matlamat kita.
“Saya secara peribadi membuat keputusan untuk bertanding jawatan Ketua Wanita UMNO kerana melihat landskap politik hari ini amat mencabar dan Wanita UMNO mesti main peranan dan tidak boleh terkebelakang serta mesti kekal relevan dalam arena politik,” kata Shahrizat.
Pada pemilihan kali ini, bekas Ahli Parlimen Lembah Pantai itu dijangka bertembung dengan penyandang jawatan Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Noraini Ahmad.