SHAH ALAM 17 Feb. – Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batang Kali, Harumaini Omarmemberi tempoh tiga hari kepada Speaker DUN Selangor, Ng Suee Lim tidak menarik balik pengisytiharan kekosongan kerusi yang dibuat semalam.
Beliau mempertimbangkan tindakan undang-undang sekiranya Ng Suee Lim tidak menarik balik pengisytiharan kekosongan kerusi yang dibuat semalam.
Dalam satu kenyataan hari ini, beliau berkata, sudah mengemukakan permohonan kepada Suee Lim hari ini supaya menarik balik pengisytiharan itu dalam tempoh tiga hari dari tarikh hari ini.
“Sekiranya tiada jawapan dan maklum balas positif diterima daripada Yang Berhormat Speaker, maka saya akan mempertimbangkan keputusan perundangan yang sewajarnya.
“Saya menegaskan bahawa Speaker hendaklah senantiasa memelihara keluhuran undang-undang tanpa dipengaruhi agenda politik kepartian di dalam membuat keputusan.
Saya dengan ini merizabkan segala hak saya bagi mencabar sebarang tindakan dan keputusan Speaker yang dibuat atas kekhilafan tafsiran peruntukan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau mengulas pengisytiharan kekosongan kerusi DUN Batang Kali berkuat kuasa 28 Januari yang diumumkan Suee Lim semalam.
Menurutnya, sehingga kini, beliau belum menerima pemakluman rasmi melalui apa-apa notis bertulis daripada pihak Speaker DUN Selangor berhubung pengisytiharan itu.
“Speaker terkhilaf daripada segi fakta dan/atau undang-undang apabila membuat pengiraan tempoh enam bulan di bawah Perkara LXIX Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959 bermula dari 27 Julai 2022, tarikh sidang dewan yang dihadiri saya di dalam Mesyuarat Kedua, Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Ke-14.
“Tiada apa-apa persidangan dewan berlangsung pada September 2022 dan Oktober 2022,” katanya.
Beliau berkata, berdasarkan lunas undang-undang, ketidakhadirannya tanpa kebenaran hanya berlaku pada Mesyuarat Ketiga, Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Ke-14 iaitu persidangan yang bermula pada 23 November 2022.
“Oleh itu, apa-apa pengiraan tempoh enam bulan bagi maksud Perkara LXIX Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959 hanya bermula dari 23 November 2022 dan bukannya pada 27 Julai 2022,” katanya.
Pada masa sama katanya, sebagai wakil rakyat Batang Kali, beliau sudah memberikan khidmat bakti kepada masyarakat setempat melalui Pusat Khidmat DUN berkenaan sejak dipilih dalam Pilihan Raya Umum ke-14.
“Oleh itu, adalah tidak wajar untuk saya dihalang daripada menghadiri Mesyuarat Pertama, Penggal Keenam Dewan Negeri Selangor Keempat Belas yang dijadualkan bermula 13 Mac depan,” katanya.
