Zafrul ahli MT, pemecatan Lokman dibatal

KUALA LUMPUR 17 Feb. – Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz dilantik sebagai Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) manakala pemecatan Lokman Noor Adam dibatalkan.

Perkara tersebut diputuskan pada Mesyuarat MKT malam tadi yang dipengerusikan oleh Presiden UMNO, Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Zafrul yang juga Bendahari UMNO Selangor mengangkat sumpah jawatan itu sebelum MKT memulakan mesyuaratnya.

“Saya ingin menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Presiden UMNO merangkap Timbalan Perdana Menteri serta seluruh pucuk pimpinan atas kepercayaan yang diberikan menerusi lantikan ini,” katanya.

Menerusi Facebooknya, Zafrul berkata perjuangan parti demi agama, bangsa dan tanah air akan sentiasa beliau junjung.

Sementara itu, Lokman melalui Facebooknya juga memaklumkan pembatalan pemecatannya malam tadi.

“Alhamdulillah, baru terima panggilan daripada Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan yang memaklumkan bahawa mesyuarat MKT malam tadi bersetuju membatalkan pemecatan saya dan kini kembali sebagai Ahli MT,” katanya.

Beliau berkata, berikutan pembatalan itu, hak beliau untuk bertanding pada pemilihan ini telah dikembalikan.

Lokman yang juga Presiden Laskar Siber Malaysia dipecat pada 7 Februari 2020 dipercayai ada kaitan dengan tindakannya mempersoalkan Ahmad Zahid mengenai kemungkinan UMNO akan bergabung dengan pakatan baharu pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad.

Related posts

Leave a Comment