Dana RM20 juta bantu Turkiye, Syria

KUALA LUMPUR 14 Feb. – Bantuan dana kemanusiaan Malaysia bagi membantu mangsa gempa bumi di Turkiye dan Syria setakat ini berjumlah RM20 juta, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Menurut Anwar sumbangan itu adalah daripada beberapa syarikat tempatan dan pelbagai pihak termasuk sebanyak US$1 juta daripada kerajaan Malaysia, manakala US$1 juta lagi adalah sumbangan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

Beliau berkata, bagi bantuan menyelamat  dua pasukan Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART), dan satu lagi kumpulan akan berlepas ke sana malam ini termasuk Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

“Setakat ini, sekitar RM4 juta dibelanjakan untuk kita menghantar dua pasukan SMART. Malam ini, satu lagi pasukan akan turut dihantar yang termasuk anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

“Antara lain pasukan kita telah mewujudkan kemudahan hospital medan yang telah dipasang dan beroperasi di Turkiye,” katanya pada Waktu Pertanyaan Menteri semasa persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini.

Anwar menjawab soalan Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (PN-Kuala Kangsar) yang meminta Perdana Menteri menyatakan bentuk bantuan yang telah diberikan kerajaan kepada Turkiye dan barat laut Syria susulan bencana gempa bumi yang melanda yang telah mengorbankan begitu banyak nyawa dan mencederakan ribuan rakyat kedua-dua negara berkenaan.

Menurut Anwar kos penghantaran SMART banyak dikurangkan kerana kos penerbangan ditanggung sepenuhnya oleh syarikat penerbangan Turkiye.

Pada 6 Februari lepas, gempa bumi bermagnitud 7.8 pada skala Richter telah melanda kawasan selatan Turkiye serta Syria dan sehingga semalam dilaporkan bilangan kematian mencecah 31,643 orang manakala 106,428 lagi cedera.

Di Syria pula, dilaporkan seramai 5,329 orang maut dan 14,500 orang cedera.

Sementara itu, Anwar berkata beliau mempertimbangkan akan ke Turkiye malam ini bagi memberikan sokongan moral kepada pemimpin negara itu.

Menjawab soalan mengenai pendirian Malaysia melibatkan penghantaran pasukan bantuan ke Syria, Anwar berkata setakat ini bantuan yang akan dihantar ke negara itu adalah dana dan peralatan perubatan termasuk membawa satu kelengkapan hospital daripada ATM untuk dipasang di sana.

“Dana (RM20 juta) itu kita putuskan untuk bantu Syria dan kirim alat ubatan walaupun ketika itu Amerika Syarikat belum memberikan pelepasan,” kata beliau.

Related posts

Leave a Comment