Turkiye berdepan kemusnahan AS$84.1 bilion

ANKARA 14 Feb. –  Gempa bumi dahsyat yang menggegarkan Turkiye pada 6 Februari lalu menyebabkan Ankara berdepan kemusnahan melibatkan kos yang boleh mencecah AS$84.1 bilion, demikian unjuran Konfederasi Perniagaan dan Perusahaan Turkiye .

Berdasarkan laporan pada hujung minggu lalu, jumlah AS$84.1 bilion itu terdiri daripada AS$70.8 bilion untuk kos membaik pulih ribuan kediaman, kerugian pendapatan negara AS$10.4 bilion serta kerugian tidak dapat bekerja AS$2.9 bilion

Bagaimanapun, pemerintah menganggarkan kos itu berjumlah lebih AS$50 bilion.

Menurut laporan itu, kos utama bakal melibatkan pembinaan semula kediaman, membaik pulih talian dan prasarana serta menyediakan pusat perlindungan jangka pendek, sederhana dan panjang yang diperlukan ratusan ribu penduduk yang kehilangan tempat tinggal.

Sebelum ini, Presiden Recep Tayyip Erdogan memaklumkan pembinaan semula kediaman akan disiapkan dalam tempoh setahun dan pemerintah menyediakan program untuk membangunkan semula negara.

Kira-kira 13.4 juta penduduk di 10 wilayah atau 15 peratus daripada keseluruhan penduduk Turki terkesan akibat gempa bumi itu, yang mana ia menyumbang kepada hampir 10 peratus Hasil Kasar Dalam Negeri (GDP).

Setakat ini, bencana itu sudah meragut lebih 37,000 nyawa di Turkiye dan Syria.

Di samping operasi mencari dan menyelamat mangsa terperangkap bawah runtuhan, tumpuan kini turut ditekankan kepada keperluan menyediakan tempat perlindungan, makanan dan penjagaan psikososial kepada mereka yang terselamat.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) Mahmoud Mohieldin berkata kesan bencana kali ini terhadap GDP dijangka tidak sama dengan gempa bumi yang melanda pusat perindustrian di barat laut Turkiye pada 1999.

Beliau berkata, selepas berdepan kesan awal dalam tempoh beberapa bulan akan datang nanti, pelaburan sektor awam dan swasta dalam pembinaan semula dijangka meningkatkan GDP pada masa depan.

Sekalipun begitu, pegawai dan pakar ekonomi menganggarkan tragedi gempa bumi itu bakal menyebabkan pertumbuhan ekonomi menguncup sebanyak sehingga dua peratusan mata tahun ini.

Sebelum bencana dahsyat itu melanda, pemerintah meramalkan pertumbuhan 5 peratus pada 2022 dan 5.5 peratus tahun ini.

Related posts

Leave a Comment