KUALA LUMPUR 13 Feb. – Mohamed Azmin Ali yang gagal mempertahankan kerusi Parlimen Gombak pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) mengumumkan untuk berehat seketika daripada arena politik.
Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN) itu berkata, beliau juga mahu mencari rentak baharu sebelum memutuskan langkah seterusnya.
“Kepada semua rakyat Malaysia. Ini adalah rehat seketika dalam arena poltik saya untuk berkhidmat kepada rakyat,” kata Pengarah Pilihan Raya PN itu di Twitter, semalam.
Bagaimanapun Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Antarabangsa itu menegaskan tekadnya untuk berkhidmat kepada negara dan rakyat tidak akan putus.
Pada PRU lalu, Azmin yang juga bekas Menteri Besar Selangor pada era Pakatan Harapan (PH) gagal mempertahankan kerusi Parlimen Gombak yang dimenanginya pada 2008 atas tiket PKR.
Beliau meninggalkan PKR pada Februari 2020 bersama 10 Ahli Parlimen lain dari parti itu, sekali gus turut menyumbang kepada kejatuhan kerajaan PH.
Pada PRU lalu Azmin tewas kepada Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari yang mewakili PH-PKR.
Dalam pertembungan lima penjuru itu, Amirudin memperoleh 72,267 undi dengan majoriti 12,729 undi manakala Azmin (PN-Bersatu) mendapat 59,538 undi, Megat Zulkarnain Omardin (BN-UMNO) 30,723 undi, Aziz Jamaludin Mhd Tahir (GTA-Pejuang) 2,223 undi dan Zulkifli Ahmad (Bebas) menerima 675 undi.
Pada PRU14, Azmin yang bertanding atas tiket PKR, menang dengan majoriti 48,721 dengan menewaskan calon BN Abdul Rahim Kamarudin dan calon Pas Ir. Khairil Nizam.
