Polis kenal pasti 7 mangsa nahas Genting Highlands

(Foto PDRM)

BENTONG: Polis mengenal pasti identiti mayat tujuh mangsa nahas van yang terbabas dan merempuh penghadang jalan ketika turun dari Genting Highlands di Kilometer (KM) 4.8 Jalan Genting Highlands di sini, semalam.

Ketua Polis Pahang, Ramli Mohamed Yoosuf dalam satu kenyataan malam tadi memberitahu, pemandu van berkenaan, Wong Choun Chiet, 49, meninggal dunia di lokasi kejadian.

Lima lagi penumpang yang juga meninggal di lokasi adalah Foong Ah Lan, 69; Lee Moy, 67; Goh Siew Kim, 61; Ang Meng Hong, 62; dan Siew Mei Tin, 72.

“Enam lagi penumpang yang cedera dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) bagi mendapatkan rawatan. Bagaimanapun, seorang lagi penumpang itu, Chang Them Kong, 70, disahkan meninggal dunia semasa mendapatkan rawatan,” katanya.

Ramli memberitahu, dua lagi penumpang telah dihantar ke Hospital Bentong untuk menerima rawatan, tetapi dipindahkan ke Hospital Temerloh.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akata Pengangkutan Jalan Raya 1987.

Dalam kejadian pukul 1.15 tengah hari itu, kesemua mangsa dalam perjalanan pulang dari Genting Highlands ke Pulau Pinang.

“Berdasarkan siasatan awal mendapati van itu telah hilang kawalan lalu terbabas melanggar konkrit pembahagi jalan di sebelah kanan sehingga menyebabkan enam daripada mereka terkorban,” katanya.

Ramli juga memohon kerjasama mana-mana pihak yang melihat kejadian itu untuk tampil bagi membantu siasatan.

Pada masa yang sama, pihaknya menasihatkan pengguna jalan raya agar sentiasa memandu secara berhati-hati dan berhemah, serta memastikan kenderaan yang dipandu diselenggara dengan baik dan selamat.

Related posts

Leave a Comment