Hamzah tidak akan khianati Muhyiddin

SHAH ALAM 7 Sept. – Timbalan Presiden Bersatu, Hamzah Zainuddin tidak akan mengkhianati  Muhyiddin Yassin sebaliknya menegaskan akan menjadi penyokong nombor satu yang akan mempertahankan presidennya itu.

“Saya bukan pengkhianat tapi mahu jadi seorang sahabat yang duduk sebelah presiden. Adik kepada presiden. Orang suruhan kepada presiden. Yang penting kita menang pilihan raya, di mana kita boleh tentukan masa depan kita,” katanya.

Ketua Pembangkang itu membuat kenyataan itu semasa berucap pada sesi penggulungan Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Bersatu 2025 di sini hari ini.

Hamzah dalam ucapannya menjelaskan tidak wujud ‘si kitol’ atau pengkhianat dalam Bersatu ketika terdapat dakwaan yang mengaitkan dirinya dengan satu gerakan yang mahukan supaya Muhyiddin berundur.

“Tan Sri (Muhyiddin) percayakan saya. Kami sayangkan parti. Kalau mahu pecat (saya), ke mana saya mahu pergi. Ini parti terakhir saya sampai mati. Saya lakukan banyak usaha demi kepentingan parti dan presiden.

Janganlah dianggap kita sebagai pengkhianat. Apa lagi khianat. Saya bukan pengkhianat tapi mahu jadi seorang sahabat yang duduk sebelah presiden.” katanya yang mengulangi gesaan supaya menghentikan amalan surat layang dan cucuk-mencucuk pemimpin dalam parti.

“Kita sayangkan presiden. Hidup Tan Sri!. Ini ada surat layang yang kata macam-macam dalam kalangan kita. Dalam perasmian (PAT) jangan ada budaya yang tak baik masuk dalam parti kita.

“Saya mahu beritahu ‘si kitol’ yang ada adalah mereka yang khianat kepada agama dan bangsa. Mereka bukan dari kalangan kita. Sudah-sudahlah, cukup-cukuplah,” katanya.

Terdahulu ketika memulakan ucapannya, Hamzah berkata, Muhyiddin memerlukan dokongan semua ahli dan pemimpin Bersatu untuk memimpin parti menuju kemenangan dalam PRU16.

“Tan Sri (Muhyiddin) perlukan kita semua. Kita semua yang ada di sini, janganlah lihat nombor satu atau dua lagi. Lihat kita semua di mata ahli Bersatu di seluruh negara.

“Jangan cucuk mencucuk, yang jadi masalah kita hari ini adalah, kerana ada orang yang belum tahu apa-apa, cuba cucuk. Apa yang belum tahu depan belakang, cucuk.

“Ini bukan budaya kita. Kita tak ada budaya cucuk ‘mencucuk. Budaya kita angkat martabat presiden dan parti kita,” katanya.

Selepas menyampaikan ucapannya, Hamzah kelihatan memeluk erat Muhyiddin di pentas utama, sambil diiringi tepukan dalam kalangan perwakilan Bersatu.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment