Denti, Frankie sertai SAR di Turkiye

(Foto Agensi Pengurusan Bencana Negara)

SEPANG: Denti dan Frankie, dua ekor ekor anjing pengesan (K9) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM), turut menyertai pasukan kedua bagi misi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa gempa bumi di selatan Turkiye.

Pasukan kedua yang berlepas melalui KLIA di sini, malam tadi terdiri daripada 20 anggota Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART), 30 anggota JPBM dan 20 pegawai Angkatan Pertahanan Awam (APM).

Ketua Komander Pasukan Khas Operasi, Taktikal dan Penyelamat Malaysia (STORM) JBPM, Ismail Abd Ghani, berkata anjing pengesan dibawa bersama bagi memaksimumkan tugasan ketika berada di lokasi.

Anjing pengesan ini yang memiliki kepakaran mencari mangsa hidup dan mayat sangat membantu dalam usaha mengesan lokasi di mana mangsa berada.

“K9 adalah antara pasukan atau unit yang termasuk dalam misi mencari dan menyelamat SMART, jadi mereka ini memang bersedia untuk diatur gerak ke mana-mana (lokasi di) luar negara,” katanya.

Beliau juga menjelaskan, Denti dan Frankie mampu bertahan dalam penerbangan ke Istanbul yang dijangka mengambil masa 11 jam.

“Antara penilaian ketika perolehan dulu adalah anjing ini boleh dibawa melalui penerbangan, jadi tidak ada masalah untuk penerbangan yang lama kerana kita dah uji sebelum ini,” katanya.

Denti dan Frankie sebelum ini pernah terbabit dalam operasi SAR tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, Batang Kali pada 16 Disember tahun lalu.

Katanya Denti, anjing daripada baka Labrador, dan Frankie daripada baka English Springer Spaniel, masing-masing akan dikendali oleh pegawai bomba Tony Anak Albert Mani dan Y Thibagaran.

Sementara itu Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), Armizan Mohd Ali, berkata, pasukan pertama SMART yang sudah tiba di Gaziantep berdepan beberapa cabaran agak besar iaitu cuaca ekstrem di lokasi bencana, koordinasi logistik dan pengangkutan serta faktor keselamatan geopolitik.

“Namun begitu, semangat seluruh anggota tetap tinggi dan cabaran dihadapi dapat ditangani dengan kerjasama Disaster and Emergency Management Presidency (AFAD) Turkiye.

“Saya harap rakyat Malaysia keseluruhannya mendoakan keselamatan dan kesihatan pasukan SMART supaya mereka dapat melaksanakan tugas dengan sebaik mungkin,” katanya.

Isnin lalu, Malaysia menghantar pasukan SMART yang dianggotai 70 anggota ke Turkiye bagi membantu misi SAR mangsa gempa bumi di selatan Turkiye sebagai tanda solidariti.

Related posts

Leave a Comment