SMART antara kumpulan pertama tiba di Turkiye

PUTRAJAYA 8 Feb. – Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) yang berlepas ke Turkiye menjadi antara kumpulan pasukan dari negara asing pertama yang tiba di negara itu.

Menurut Kementerian Luar Negeri, Malaysia dapat menghantar segera SMART dalam tempoh kurang daripada 12 jam dalam membantu pihak berkuasa tempatan.

Dengan keanggotaan seramai 70 anggota, pasukan itu akan membantu kerajaan Turkiye dalam misi mencari dan menyelamat mangsa yang terjejas akibat kejadian gempa bumi.

Kejayaan itu hasil daripada penyelarasan yang baik antara kesemua agensi kerajaan Malaysia, Kedutaan Besar Malaysia di Ankara dan Konsulat Jeneral Malaysia di Istanbul serta Kedutaan Besar Republik Turkiye di Kuala Lumpur serta Turkish Airlines.

Pasukan pertama itu selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Istanbul pada pukul 5.50 pagi waktu tempatan semalam seterusnya diberikan taklimat sebelum berangkat ke Lapangan Terbang Adana bagi meneruskan perjalanan ke Gaziantep.

Sementara itu Kementerian Luar Negeri turut menyarankan warga Malaysia yang berada di Turkiye, Syria dan negara-negara berdekatan untuk terus mengambil langkah berjaga-jaga serta mengikuti perkembangan terkini.

Warga Malaysia di negara-negara berkenaan yang memerlukan bantuan dinasihati untuk segera berhubung dengan Kedutaan-Kedutaan Besar Malaysia di Amman, Ankara, Beirut atau Konsul Jeneral Malaysia di Istanbul atau Konsul Kehormat Malaysia di Damsyik.

Bagi menyelaraskan bantuan kemanusiaan dari Malaysia termasuk daripada pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO), satu Pasukan Petugas diketuai bersama Wisma Putra dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) telah dibentuk.

Satu mesyuarat koordinasi antara Pasukan Petugas dengan NGO-NGO Malaysia diadakan hari ini.

Related posts

Leave a Comment