PUTRAJAYA 8 Feb. – Sebanyak 184 kes jangkitan Covid-19 direkodkan di seluruh negara semalam yang meliputi 181 kes tempatan dan satu kes import berbanding 175 yang dilaporkan kelmarin.
Menurut data portal KKMNow, jumlah keseluruhan kes tempatan setakat ini adalah 4,999,719 dan 38,635 kes import menjadikan jumlah keseluruhan 5,038,354.
Dua kematian baharu dilaporkan menjadikan jumlah yang meninggal dunia setakat ini 36,946 orang termasuk 7,871 kes di luar fasiliti hospital atau ‘brought-in-dead’ (BID)
Sementara itu, kes aktif yang dilaporkan semalam adalah 9,982, berkurangan sebanyak 71 kes berbanding kelmarin dan daripada jumlah itu, sebanyak 9,621 kes atau 96.4 peratus pesakit sedang menjalani kuarantin di rumah.
Tiada pesakit ditempatkan di pusat kuarantin (PKRC), manakala 357 pesakit atau 3.6 peratus mendapat rawatan di hospital, empat daripada pesakit ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU), kesemuanya memerlukan alat bantuan pernafasan.
Dalam tempoh yang sama, 253 pesakit baharu dilaporkan sembuh dan ini menjadikan jumlah pesakit yang pulih setakat semalam meningkat kepada 4,991,426 orang.
