Anwar kembali ke ibu pejabat UMNO

KUALA LUMPUR 7 Feb. – Selepas kira-kira 25 tahun, tidak menjejakkan kaki di Menara Dato’ Onn, Anwar Ibrahim kembali berada di ibu pejabat UMNO malam ini.

Perdana Menteri tiba pada pukul 7.42 malam ini dan sempat berseloroh kepada petugas media “ini bukan mesyuarat UMNO.”.

Beliau hadir untuk mempengerusikan mesyuarat pertama Sekretariat Kerajaan Perpaduan bersama pemimpin parti Kerajaan Perpaduan, pukul 8.30 malam ini.

Kehadiran Perdana Menteri di situ adalah selepas kira-kira 25 tahun tidak menjejakkan kakinya di sana selepas dipecat daripada UMNO pada 3 September 1998.

Mesyuarat turut dihadiri pemimpin utama UMNO dan Barisan Nasional (BN), termasuk Presiden UMNO, Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Turut hadir adalah pemimpin utama parti Pakatan Harapan (PH), Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Gabungan Parti Sarawak (GPS) serta Parti Warisan Sabah (Warisan).

Antara pemimpin yang kelihatan adalah Ketua Whip GPS, Fadillah Yusof; Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke; Presiden Parti Amanah Negara Mohamad Sabu, Presiden MIC, SA Vigneswaran dan Presiden MCA, Dr Wee Ka Siong.

Sebelum ini Ahmad Zahid memaklumkan, Ketua Pemuda UMNO,  Dr Asyraf Wajdi Dusuki akan mengetuai sekretariat berkenaan.

Sekretariat itu antara lain bertujuan menjamin kelangsungan Kerajaan Perpaduan yang kini terdiri daripada 148 Ahli Parlimen sekali gus menguasai dua pertiga majoriti.

Related posts

Leave a Comment