Tahap kesihatan PM Anwar baik

KUALA LUMPUR 5 Feb. –  Perdana Menteri Anwar Ibrahim memaklumkan, keadaan kesihatannya berada pada tahap yang baik dan beliau meneruskan tugasnya hari ini.

Beliau  yang dilaporkan tidak sihat, hari ini, berkata perkara itu disahkan doktor selepas beliau menjalani pemeriksaan di Institut Jantung Negara (IJN) di sini, pagi tadi.

“Pagi tadi jalani pemeriksaan kesihatan di Institut Jantung Negara (IJN).Seusai pemeriksaan dan doktor mengesahkan kesihatan saya berada pada tahap yang baik, saya langsung menyambung tugasan bersama staf. Alhamdulillah,” kata beliau di Facebooknya.

Sebelum itu, Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar memaklumkan kepada pemberita, Perdana Menteri sepatutnya menghadiri sambutan Thaipusam di Batu Caves, tetapi tidak dapat berbuat demikian kerana tidak sihat dan terpaksa ke hospital.

Perdana Menteri turut berkongsi gambar perbincangan antara beliau dan tiga pegawainya di kediaman beliau di Kajang.

Mereka ialah Setiausaha Politik Kanan,  Shamsul Iskandar Md Akin; Penasihat Kanan Ekonomi dan Kewangan, Nurul Izzah Anwar dan Timbalan Ketua Setiausaha Sulit, Shukri Saad.

Related posts

Leave a Comment