LUSA, 27 Rejab umat Islam akan mengingati Israk Mikraj, peristiwa penting di dalam kalendar Islam. Ia adalah mukjizat dan kurniaan besar Allah SWT kepada Nabi Muhammad SAW setelah baginda SAW menghadapi tentangan pemimpin-pemimpin Quraish dan kehilangan isteri serta bapa saudaranya yang membantu bahkan melindungi baginda SAW dalam melakukan kerja-kerja dakwah.
Setiap kali Israk Mikraj, banyak program disusun tetapi kali ini agak muram akibat penularan wabak Covid-19. Lebih-lebih lagi dua tempat suci yang terlibat dalam peristiwa itu Masjidilharam dan Baitulmuqaddis ditutup kepada umat Islam.
Disebabkan wabak Covid-19, program yang disusun lebih awal terpaksa dibatalkan. Masjid dan surau yang menjadi lokasi majlis juga ditutup Hanya imam, bilal dan siak boleh berada di situ bagi memastikan azan terus berkumandang, supaya umat Islam tidak lupa solat, satu perintah yang terhasil daripada Israk Mikraj.
Walaupun tidak berpeluang menyambutnya, elok kita sentiasa menyelak semula peristiwa itu. Banyak sumber yang boleh membantu kita untuk menghayati peristiwa berkenaan. Khutbah Jumaat di Selangor hari ini, jika ikut jadual turut memperkatakan mengenai Israk Mikraj. Begitu juga di negeri-negeri lain.
Khutbah yang disenaraikan di Selangor bertajuk Israk dan Mikraj Menguatkan Keimanan. Disebabkan tidak ada perkataan EMBARGO elok dikongsi bersama.
Menurut khutbah itu, melalui Israk Mikraj, Allah SWT hendak menjadikan rasul-Nya sebagai insan yang mulia. Allah hendak menggantikan yang lebih baik lagi dari apa yang Nabi SAW alami dan para malaikat pun memberi penghormatan kepada baginda SAW setelah bersusah payah menghadapi rintangan dan akhirnya Nabi SAW mendapat kekuatan baharu untuk terus berdakwah menyebarkan Islam.
Firman Allah SWT dalam surah al-Isra’ , ayat pertama yang bermaksud:
“Maha Suci Allah yang telah menjalankan hamba-Nya (Muhammad) pada malam hari dari Masjid Al-Haram (di Mekah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.”
Inilah dalil al-Quran yang menjadi pegangan dan keimanan umat Islam terhadap peristiwa Israk dan Mikraj. Apabila al-Quran menceritakan suatu peristiwa, maka tidak ada pilihan lain bagi umat Islam melainkan mengimaninya kerana ia datangnya dari Allah SWT.
Peristiwa Israk dan Mikraj ini ada disebut dalam beberapa hadis sahih bersumberkan dari Anas bin Malik sebagaimana diriwayatkan oleh Al- Imam Al-Bukhari dan Muslim yang menjelaskan peristiwa Israk dan Mikraj tersebut.
Pada suatu malam, malaikat Jibril turun dan membawa Nabi SAW ke Baitullah. Malaikat Jibril membedah dada Rasulullah SAW kemudian dibersihkannya dengan air zamzam lalu dituangkan hikmat dan iman. Kemudian Nabi SAW menunggang Al-Buraq menuju Baitulmuqaddis. Di sana Baginda SAW mengerjakan solat dua rakaat.
Selesai solat, Jibril menghidangkan satu bekas yang berisi arak dan satu bekas berisi susu. Lalu Nabi SAW memilih susu sebagai simbolik kepada Islam. Aqidah, syariah dan akhlak dalam Islam adalah sesuai dengan kehendak dan ciptaan manusia. Apa sahaja ajaran dalam Islam tidak bercanggah dengan sifat-sifat semulajadi manusia.
Dalam masa yang sama, peristiwa ini telah diambil peluang oleh kafir Quraish untuk mewujudkan keraguan supaya mereka yang beriman tidak mempercayai apa yang diceritakan oleh nabi SAW. Sebenarnya, apa yang disaksikan oleh baginda SAW dengan pelbagai peristiwa itu adalah sesuatu yang tidak boleh diterima oleh logik akal.
Oleh kerana itu, Saidina Abu Bakar al-Siddiq Radhiallahu Anhu ketika ditanya tentang pendiriannya berkaitan Israk dan Mikraj, maka dengan tenang beliau menjawab: “Jika baginda SAW yang berkata maka ungkapannya adalah benar. Sememangnya aku akan tetap mempercayai lebih dari itu”.
Peristiwa agung ini mengandungi iktibar dan keinsafan kepada umat Islam untuk meningkatkan iman serta mengambil beberapa pengajaran yang menggambarkan kebesaran Allah SWT. Allah memperjalankan Nabi SAW hanya mengambil masa dalam satu malam dari Masjidilharam , Baitulmuqaddis, Sidratul Muntaha dan balik semula ke Masjidilharam . Sedangkan perjalanan dari Masjidilharam ke Baitulmuqaddis sahaja mengambil masa 40 hari.
Pelbagai peristiwa dizahirkan bagi menggambarkan tentang amalan- amalan yang dilakukan oleh manusia di dunia yang akan diperhitungkan di akhirat. Setiap amal kebaikan akan diberikan ganjaran yang berlipat ganda sementara amal keburukan yang dilakukan akan dibalas dengan azab yang setimpal.
Menurut sebuah hadis oleh al-Tabrani dan al-Bazzar, Nabi Muhammad SAW telah melalui penempatan beberapa kaum yang hidup dengan kemaksiatan. Antaranya mereka malas solat, enggan membayar zakat, bergelumang dengan wang riba, suka mengumpat, menyebar fitnah, berzina, sombong dan mengkhianati janji. Ini menggambarkan betapa besarnya azab yang akan menimpa umat manusia sekiranya melakukan maksiat dan derhaka kepada Allah.
Nabi SAW juga dibawa melihat ke suatu lembah yang nyaman dan dingin, anginnya membawa bauan wangi harum semerbak bagai kasturi, serta kedengaran suara riang gembira. Inilah suara syurga yang merayu memohon agar Allah membalas apa-apa yang dijanjikan, walaupun mereka sedang menikmati berbagai-bagai nikmat syurga, namun syurga masih memohon lagi nikmat yang lebih besar sebagai ganjaran kepada yang beriman dan beramal soleh.
Demikian balasan yang amat besar kepada umat Nabi Muhammad SAW yang taat perintah-Nya.
Selepas itu Jibril AS membawa Nabi ke suatu tempat, kedengaran suara bising dan udaranya berbau busuk. Jibril AS menyatakan, itu adalah suara neraka Jahannam yang menyeru agar ditambah lagi azab yang dijanjikan walaupun telah bertimbun padanya rantai, belenggu, api menjulang, air panas mendidih, tetapi neraka Jahannam masih memohon lagi azab dan seksa kepada mereka yang mensyirikkan Allah dan melakukan maksiat.
Dalam perjalanan mikraj, Nabi Muhammad SAW membuat kunjungan hormat kepada Nabi Adam AS dan rasul-rasul yang lain sehingga langit ke tujuh. Menurut Tafsir al-Maraghiy, sesungguhnya pada peristiwa ini terdapat suatu pengertian bahawa semua Rasul walaupun berlainan keturunan, zaman, bahasa dan budaya, namun mereka hormat-menghormati antara satu sama lain.
Perbuatan ini patut diambil iktibar semua manusia agar sentiasa menjalin persaudaraan, berkasih sayang, saling menghormati dan jauhi daripada perkara yang boleh menimbulkan perpecahan sesama sendiri.
Kemuncak daripada peristiwa Israk dan Mikraj, Allah SWT memfardhukan ibadat solat fardhu sebanyak lima waktu sehari semalam. Solat merupakan perhubungan kita dengan Allah SWT. Dengan sebab itu sewajarnya solat dilakukan dengan sempurna kerana solat adalah sebaik- baik pencegahan. Sesungguhnya solat itu dapat mencegah perkara keji dan mungkar.
“Solat itu tiang agama, sesiapa yang mendirikannya bermakna ia mendirikan agama, sebaliknya bagi mereka yang meninggalkannya seolah- olah meruntuhkan agama.” (Riwayat al-Baihaqi).