Gambar lama di rumah Sheikh di Doha

SEPANG 5 Feb. –  Gambar tular Perdana Menteri Anwar Ibrahim sedang menjamu selera ‘nasi Arab’ di depan dulang besar adalah gambar lama sekitar 2019 ketika beliau ke Doha atas jemputan perdana menteri Qatar.

Ahli Parlimen Pasir Gudang (PKR) Hassan Karim yang turut kelihatan dalam gambar itu berkata, lawatan itu diadakan selepas Anwar memenangi Pilihan Raya Kecil
Port Dickson pada Oktober 2018.

Katanya, sempena lawatan itu, Anwar turut dipelawa menghadiri satu persidangan antarabangsa memperingati tokoh Islam Malek bin Malek, selain menziarahi tokoh ulama Islam Yusuf al-Qaradawi.

“Anwar dan rombongannya bukan ke Doha, Qatar untuk makan nasi Arab dalam dulang besar,” katanya yang menceritakan perkara itu untuk menegakkan fakta dan kebenaran bagi melindungi nama baik Perdana Menteri daripada difitnah.

Beliau menjelaskan gambar itu diambil di rumah seorang Sheikh, iaitu kerabat rapat pemerintah Qatar yang menjemput Anwar dan rombongannya singgah ke rumahnya sebelum ke lapangan terbang Doha untuk pulang ke tanah air.

“Sebagai tetamu, Anwar dan rombongannya pun terperanjat dengan hidangan yang hebat seperti dalam gambar itu.Kami memahami itu mungkin budaya Arab. Kami makan bersila dalam pinggan yang kecil di hadapan dulang besar dengan nasi Arab berlauk kambing, bukannya unta,” katanya melalui Facebooknya.

Menurut Hassan, turut serta dalam rombongan ketika itu adalah Ahli Parlimen Kapar, Datuk Abdullah Sani serta Mohd Amin Ahmad (Kangar); Dr Azman (Kuala Kedah) dan dan Abdul Rahman Yusof ( Allahyarham) mantan Ahli Parlimen Kemaman.

Hassan yang selama ini lebih banyak menegur dan mengkritik Anwar dan kerajaannya berkata, beliau tidak boleh berdiam diri kerana fitnah terhadap diri Perdana Menteri tidak boleh dibiarkan tanpa dicabar dan dipatahkan.

“Sudah lama saya tidak mempertahankan Sdr Anwar Ibrahim sejak beliau menjadi Perdana Menteri. Saya lebih banyak menegur dan mengkritik. Tetapi hari ini, saya tidak boleh berdiam diri,” katanya.

Semalam, pemilik akaun Facebok Sam MY memuat naik gambar Anwar sedang makan bersama beberapa individu dan mendakwa rakyat disuruh makan Menu Rahmah sedangkan perdana menteri menikmati hidangan nasi mewah dalam dulang besar.

Berikutan itu, Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil dilaporkan meminta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia dan polis menyiasat hantaran itu yang disifatkannya berniat jahat dan sengaja menimbulkan prasangka terhadap perdana menteri dengan menyiarkan gambar lama.

Hassan bagaimanapun meminta laporan polis tidak dibuat terhadap penyebar gambar itu kerana “kita lawan fitnah dengan fakta dan penjelasan rasional”.

Related posts

Leave a Comment