Dari UMNO ke Bersatu kini Gagasan Rakyat

KOTA KINABALU 5 Feb. –  Ketua Menteri, Hajiji Noor yang meninggalkan Bersatu hari ini secara rasmi mengambil alih Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) sekaligus dipilih mengetuai parti itu.

Hajiji dipilih menggantikan bekas Presiden Gagasan Rakyat, Stephen Jacob Jimbangan pada Mesyuarat Agung Khas (EGM) parti itu yang diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, hari ini.

Menteri Kewangan negeri yang juga Setiausaha Agung Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Masidi Manjun dipilih sebagai timbalan presiden yang baharu.

Turut membarisi kepemimpinan baharu Gagasan Rakyat adalah tiga naib presiden, iaitu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Membakut, Mohd Arifin Arif; ADUN Kemabong, Rubin Balang dan ADUN Kuamut, Masiung Banah.

Bekas Setiausaha Bersatu Sabah, Mohd Razali Razi dipilih sebagai Setiausaha Agung dan Stephen Jacob sebagai timbalan, Pengarah Yayasan Sabah yang juga ADUN Kawang,  Ghulam Haidar Khan Bahadar  sebagai bendahari, manakala ADUN Apas, Nizam Abu Bakar Titingan sebagai Ketua Penerangan.

Semua pemimpin baharu yang dilantik menerajui jawatan utama Gagasan Rakyat terdiri daripada bekas ahli Bersatu Sabah termasuk 20 orang Ahli Majlis Tertingginya.

Hajiji yang juga Pengerusi GRS, berkata menerusi langkah itu semua bekas ahli Bersatu kini mempunyai wadah politik 100 peratus tempatan untuk meneruskan perjuangan rakyat dan negeri.

Katanya , dua ciri utama Gagasan Rakyat yang menjadi faktor penarik untuk bersama-sama dalam parti ini ialah parti berbilang kaum yang membawa citra inklusiviti dan parti suara anak Sabah yang mengangkat citra perjuangan tempatan.

“Ia juga faktor yang meyakinkan rakan dalam GRS untuk menerima segera Gagasan Rakyat sebagai rakan komponen terbaharu mereka,” katanya.

Hajiji berkata, parti komponen GRS sudah lama menyatakan hasrat agar GRS menjadi platform tempatan dalam erti kata sebenar, iaitu semua rakan kongsi menjadi parti tempatan.

Selain itu, Hajiji berkata agenda Gagasan Rakyat juga selari dengan empat tonggak perjuangan GRS – Sabah First (Sabah Diutamakan), Sabah Forward (Sabah Melangkah ke Hadapan), Sabah Prosper (Sabah Maju Jaya) dan Sabah United (Sabah yang Bersatu).

Bagaimanapun, beliau berkata sebagai sebuah parti tempatan tidak bermaksud ia menolak agenda nasional atau membelakangkan kepentingan negara.

“Kita yakin dan percaya bahawa platform tempatan adalah yang terbaik untuk Sabah, formula tempatan berupaya melonjakkan agenda perjuangan dan kepentingan negeri dalam Persekutuan Malaysia.

“Kita mahu pelaksanaan sistem federalisme yang lebih bernilai dan bermakna dengan berteraskan kepada Perlembagaan Persekutuan dan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63),” katanya.

Hajiji pada 10 Disember lalu bersama semua wakil rakyat Bersatu mengumumkan keluar daripada parti itu selepas menimbangkan landskap politik Malaysia ketika itu, terutama di Sabah.

Sebelum menyertai Bersatu, Hajiji juga mengetuai wakil rakyat yang mewakili UMNO kekuar dari parti itu menyebabkan UMNO Sabah lumpuh.

Related posts

Leave a Comment