JOHOR BAHRU 4 Feb. – Bekas Ahli Parlimen Johor Bahru, Shahrir Abdul Samad, tidak akan mempertahankan jawatan Ketua UMNO bahagian yang disandangnya selama lebih empat dekad, pada pemilihan parti 2023.
Shahrir, 73 berkata, keputusan itu bagi membolehkannya memberi fokus kepada keluarga dan tidak dipengaruhi oleh kes mahkamah yang dihadapi sebelum ini apatah lagi mahkamah sudah melepas dan membebaskannya atas pertuduhan itu.
“Ini membolehkan saya jadi ‘Shahrir’ semula, orang biasa. Sama ada saya masih aktif bersuara di media sosial (Facebook Tok Uban), itu belum tahu lagi,” katanya.
Shahrir sebelum ini didakwa di mahkamah atas tuduhan gagal mengisytiharkan RM1 juta diterima daripada Datuk Seri Najib Razak melalui sekeping cek kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
Shahrir yang menjawat jawatan Ketua Bahagian Johor Bahru sejak 1980-an pernah melepaskan kerusi Parlimen Johor Bahru pada 1988 sebelum bertanding semula sebagai calon Bebas pada Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi Parlimen berkenaan.
Beliau kembali menyertai UMNO semula setahun kemudian.
Terdahulu, keputusan Shahrir itu dimaklumkan Pengerusi UMNO Johor, Mohamed Khaled Nordin, selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas UMNO Johor di Bangunan UMNO Johor, di sini, hari ini.
Mohamed Khaled berkata, UMNO Johor menghormati keputusan Shahrir itu dan mengucapkan terima kasih kepada Shahrir yang banyak menabur bakti memimpin bahagian, berkongsi pengalaman dalam politik selain membimbing pemimpin muda.
“Kita ucapkan terima kasih dan sangat hargai sumbangan serta jasa besar beliau selama ini dalam UMNO Johor,” katanya.
