Peranan Malaysia wujudkan kerjasama ASEAN – GCC

JAKARTA 4 Feb. –  Malaysia dipertanggungjawabkan untuk mewujudkan kerjasama antara ASEAN dengan Majlis Kerjasama Teluk (GCC) dan Kanada, kata Menteri Luar Datuk Seri Zambry Abdul Kadir.

Beliau berkata, peranan Malaysia dalam hal ini dibincangkan semasa mesyuarat antara beliau dengan Setiausaha Agung baharu ASEAN Dr Kao Kim Hourn di pejabat Sekretariat ASEAN di sini semalam.

Bercakap kepada media Malaysia, Dr Zambry berkata, bagi tujuan itu, penganjuran Summit membabitkan ketua-ketua negara akan diadakan tahun ini.

Malaysia juga akan bertanggungjawab untuk memberikan tumpuan untuk meningkatkan hubungan antara ASEAN dan Kanada, dan perkara ini telah dibincangkan di peringkat pegawai tinggi dan akan dibahas lebih terperinci hari ini.

Perkara lain yang turut dibincangkan antara lain berhubung kedudukan ASEAN pada masa kini dan akan datang serta isu-isu yang dihadapi termasuk mengenai Myanmar, agar jalan penyelesaian terbaik secara bersama dapat dicapai.

Zambry juga berkata Malaysia akan memberi sokongan tidak berbelah bahagi kepada Kao agar beliau dapat menjalankan tugasnya dan melaksanakan agenda yang menjadi keutamaan ASEAN.

Pertemuan dengan Kao diadakan dalam rangka agenda sempena siri mesyuarat Pemukiman Menteri-menteri Luar ASEAN yang berakhir hari ini.

Kao memegang jawatan sebagai Setiausaha Agung ASEAN ke-15 pada 9 Januari untuk berkhidmat dari 2023 hingga 2027.

Terdahulu sebelum memulakan siri mesyuarat sempena Sesi Pemukiman Menteri-menteri Luar Negeri, Menteri-menteri Luar ASEAN diberikan kesempatan untuk mengadakan kunjungan hormat ke atas Presiden Joko Widodo.

Melalui catatan Facebooknya, Dr Zambry berkata: “Kepengerusian Indonesia di dalam ASEAN pada tahun ini membawa tema “ASEAN Matters: Epicentrum of Growth”.

Semoga Indonesia berjaya mengemudi ASEAN pada tahun ini di dalam mendepani pelbagai cabaran global pasca pandemik,” .

Related posts

Leave a Comment