340 kes baharu Covid-19

PUTRAJAYA 4 Feb. – Jumlah kes jangkitan harian Covid-19 di negara ini semalam naik sedikit dengan mencatatkan 339 kes tempatan dan satu kes import berbanding 324 yang dilaporkan kelmarin menjadikan jumlah keseluruhan 5,037,582.

Menurut data portal KKMNow,  setakat semalam jumlah keseluruhan kes tempatan adalah 4,998,959 manakala kes import pula 38,623.

Semalam juga, tiada kematian baharu dilaporkan menjadikan jumlah yang meninggal akibat Covid-19 kekal 36,942 orang termasuk 7,870 kes meninggal dunia di luar fasiliti hospital atau ‘brought-in-dead’ (BID)

Sementara itu, kes aktif yang dilaporkan semalam meningkat kepada 10,210 berbanding 10,073 kelmarin iaitu pertambahan 137 kes dan daripada jumlah itu, sebanyak 9,823 kes atau 96.2 peratus pesakit sedang menjalani kuarantin di rumah.

Tiada pesakit ditempatkan di pusat kuarantin (PKRC), manakala 379 pesakit mendapat rawatan di hospital di mana lapan pesakit ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU), dengan lima pesakit pula memerlukan alat bantuan pernafasan.

Dalam tempoh yang sama, 203 pesakit baharu dilaporkan sembuh dan ini menjadikan jumlah pesakit yang pulih meningkat kepada 4,990,430 orang.

Sementara itu, Selangor merekodkan kes harian tertinggi iaitu 166 kes menjadikan jumlah kes tempatan di negeri itu setakat ini meningkat kepada 1,539,136 dan 9,565 kes import.

Ini diikuti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 67, Melaka 18, Johor dan Sarawak masing-masing 14, Pulau Pinang 13, Perak 10,  Negeri Sembilan 9, Kedah dan Pahang masing-masing 8, Kelantan 7,  Putrajaya 3, Sabah 2 dan Perlis 1.

Tiada kes baharu direkodkan di Terengganu dan Wilayah Persekutuan Labuan.

Related posts

Leave a Comment