Exco Johor tawar diri Naib Ketua Pemuda

SEPANG 4 Feb. –  Ketua Pemuda UMNO Johor, Mohd Hairi Mad Shah, menawarkan diri untuk bertanding merebut jawatan Naib Ketua Pemuda UMNO pada pemilihan parti itu bulan depan.

Beliau berkata, keputusan itu dibuat selepas bermesyuawarah dengan 26 Ketua Pemuda Bahagian di negeri itu serta mendapat restu keluarga, pucuk pimpinan parti di peringkat cawangan, bahagian, negeri dan pusat, baru-baru ini.

“Dengan ini, saya secara rasmi menawarkan diri sebagai calon Naib Ketua Pemuda UMNO Malaysia bagi penggal 2023 hingga selesai Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16),” katanya.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Johor itu berkata, beliau ingin meneruskan usaha menaikkan imej Pemuda sebagai sayap penting dalam parti.

“Insya-Allah, saya akan pastikan dan kembalikan kesinambungan Pemuda UMNO, terutamanya melibatkan sayap-sayap yang lantang bersuara demi kebajikan kepentingan rakyat,” katanya.

Beliau juga menjelaskan tidak mahu bertanding jawatan Ketua Pemuda UMNO kerana mahu ‘bertatih’ dahulu sebelum memegang tampuk utama sayap parti.

Jawatan Naib Ketua kosong berikutan penyandang, Shahril Hamdan tidak dapat mempertahankan jawatannya, termasuk bertanding bagi jawatan lain dalam Pemuda berikutan digantung keahliannya oleh UMNO.

Setakat ini, anak bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, Datuk Mohd Nazifuddin, juga menawarkan diri bertanding jawatan Naib Ketua Pemuda UMNO.

Related posts

Leave a Comment