PORT DICKSON 3 Feb.- Masjid Kariah Bagan Pinang di Batu 3 3/4, Jalan Pantai, di sini, menjadi pilihan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, untuk solat Jumaat minggu ini.
Seperti biasa juga setiap Jumaat, beliau turun bertemu rakyat di warung-warung dan hari ini beliau makan tengah hari di kedai Pak Salleh, Bagan Pinang.
Di Kedai Makanan dan Minuman Salleh Bin Abdullah itu, Anwar mengambil kesempatan melepaskan ‘rindu’ makan rojak.
“Saya rindukan rojak di kedai ini kerana pernah makan dulu dan pastinya saya tidak lupakannya,” katanya ketika ditemui.
Perdana Menteri berkata, Port Dickson adalah lokasi yang mempunyai sejarah tersendiri dalam hidupnya selepas beliau menjadi Ahli Parlimen di situ sebelum ini.
“Port Dickson tidak saya lupakan kerana di sini, ramai kawan, pegawai kerajaan dan mereka menyambut baik ketika saya menjadi Ahli Parlimen di sini,” katanya.
Turut serta adalah Menteri Pertahanan, merangkap Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hassan dan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun.
Kedai Makanan dan Minuman Salleh Bin Abdullah kini dimiliki oleh Azuan Azmi Ng, 34, cucu kepada Salleh Abdullah yang memulakan perniagaan di kedai itu sejak tahun 1970. Salleh meninggal dunia lebih 20 tahun lalu.
Inilah kali pertama seorang Perdana Menteri datang makan di sini dan, Anwar pernah datang dan makan di kedainya ketika berkempen pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson.
