324 kes baharu Covid-19 dalam negara

PUTRAJAYA 3 Feb. – Jumlah kes jangkitan harian Covid-19 di negara ini semalam mencatatkan 324 kes termasuk empat kes import berbanding 325 yang dilaporkan kelmarin  menjadikan jumlah keseluruhan 5,037,242.

Menurut data portal KKMNow,  setakat semalam jumlah keseluruhan kes tempatan adalah 4,998,620 manakala kes import pula 38,622.

Tiada kematian baharu dilaporkan semalam menjadikan jumlah yang meninggal akibat Covid-19 kekal 36,942 orang termasuk 7,870 kes meninggal dunia di luar fasiliti hospital atau ‘brought-in-dead’ (BID)

Sementara itu, kes aktif yang dilaporkan semalam (Khamis) meningkat kepada 10,073 iaitu pertambahan 176 kes berbanding kelmarin dan daripada jumlah itu, sebanyak 9,653 kes atau 95.8 peratus pesakit sedang menjalani kuarantin di rumah.

Tiada pesakit ditempatkan di pusat kuarantin (PKRC), manakala 408 pesakit mendapat rawatan di hospital di mana 12 pesakit ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU), dengan enam pesakit pula memerlukan alat bantuan pernafasan.

Dalam tempoh yang sama, 148 pesakit baharu dilaporkan sembuh dan ini menjadikan jumlah pesakit yang pulih meningkat kepada 4,990,227 orang.

Related posts

Leave a Comment